EKONOMI > BERITA

RINGGIT NAIK 8.2 PERATUS BERBANDING DOLAR AS SETAKAT 12 NOV - BNM

14/11/2025 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Ringgit pada amnya stabil berbanding dolar AS dengan sedikit penambahan nilai sebanyak 0.05 peratus pada suku ketiga 2025 dan meningkat 8.2 peratus sejak awal tahun hingga 12 Nov 2025, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata faktor luaran dan dalam negeri telah mendorong pergerakan ringgit.

Katanya di luar negeri, langkah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) melonggarkan dasar monetari pada September berserta dengan jangkaan kadar akan dikurangkan lagi berikutan kebimbangan yang meningkat mengenai prospek ekonomi AS telah menyokong nilai ringgit pada suku tahun tersebut.

“Selain itu, pengumuman mengenai perjanjian perdagangan antara AS dan sebahagian rakan dagangannya, termasuk Malaysia telah membantu meredakan ketidakpastian berkaitan tarif dan menambah baik sentimen.

“Keadaan ini memberikan sokongan selanjutnya kepada prestasi ringgit pada suku ketiga 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rasheed berkata dalam negeri, prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang positif dan disokong oleh komitmen kerajaan terhadap pembaharuan struktur dalam negeri dan kemampanan fiskal, akan terus memberikan sokongan kepada ringgit. 

“BNM kekal komited untuk memastikan pasaran pertukaran asing domestik terus berfungsi dengan teratur,” katanya.

Menurut BNM, kadar pertukaran efektif nominal (NEER) ringgit turut menambah nilai sebanyak 0.8 peratus pada suku ketiga 2025 dan 5.3 peratus sejak awal tahun hingga 12 Nov 2025 berbanding mata wang rakan dagangan utama Malaysia.

Sementara itu, katanya kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 5.9 peratus pada suku ketiga 2025 berbanding 5.2 peratus pada suku kedua 2025.

“Bon korporat terkumpul berkembang sebanyak 7.3 peratus (suku kedua 2025: 4.3 peratus) manakala pertumbuhan dalam pinjaman terkumpul mampan pada 5.6 peratus (suku kedua 2025: 5.5 peratus),” katanya.

Menurut BNM, pinjaman perniagaan berkembang sebanyak 5.4 peratus (suku kedua 2025: 4.5 peratus) susulan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman berkaitan pelaburan terutamanya dalam kalangan bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya pertumbuhan pinjaman PKS juga meningkat sedikit, disokong oleh pertumbuhan dalam pinjaman modal kerja berikutan tahap permohonan yang berterusan untuk tujuan ini. 

“Pertumbuhan pinjaman isi rumah menurun sedikit kepada 5.7 peratus (suku kedua 2025: 6 peratus) susulan pertumbuhan yang lebih perlahan untuk pinjaman peribadi.

“Bagaimanapun, permintaan terhadap pinjaman isi rumah secara amnya stabil merentas kebanyakan tujuan pinjaman dengan kelulusan pinjaman yang berterusan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan