EKONOMI > BERITA

BNM JANGKA PERTUMBUHAN KDNK 2025 BERADA PADA JAJARAN ATAS JULAT UNJURAN

14/11/2025 04:11 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 berada pada jajaran atas julat unjuran 4.0 peratus hingga 4.8 peratus, kata Gabenor Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata ekonomi Malaysia berkembang 4.7 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini dan berada dalam lingkungan julat unjuran bank pusat.

“Kita kini berada dalam lingkungan atas julat unjuran itu,” katanya pada sidang media bersama BNM dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengenai prestasi KDNK Malaysia bagi suku ketiga 2025 di sini hari ini.

Ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus pada suku ketiga 2025 didorong oleh permintaan domestik dan peningkatan eksport yang lebih tinggi, berbanding 4.4 peratus pada suku kedua 2025.

Beliau berkata bagaimanapun, pertumbuhan keseluruhan masih bergantung kepada risiko negatif dan positif, termasuk kelembapan perdagangan akibat tarif lebih tinggi yang dikenakan Amerika Syarikat (AS), sentimen lemah ekoran ketidaktentuan yang menjejaskan perbelanjaan dan pelaburan, serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.

“Selain itu, pertumbuhan boleh menjadi lebih tinggi dengan pelaksanaan lebih banyak dasar propertumbuhan di ekonomi utama, hasil positif daripada baki rundingan perdagangan AS, permintaan lebih tinggi terhadap barangan elektrik dan elektronik, serta aktiviti pelancongan yang lebih rancak,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan