KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Peranti perubatan dan penyedia penyelesaian bersepadu, LAC Med Bhd berhasrat untuk mengumpulkan RM55.6 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd pada 10 Disember 2025.
Syarikat itu berkata hasil daripada IPO akan digunakan untuk menyokong rancangan pengukuhan kehadiran melalui segmen perniagaan baharu dan pengembangan jejaknya di Indonesia.
Daripada hasil, sejumlah RM8 juta akan digunakan bagi pengembangan serantau kumpulan ke Indonesia, manakala RM12 juta lagi akan dipakai untuk menubuhkan sebuah ibu pejabat dan gudang baharu, yang dilengkapi dengan kemudahan penyimpanan serta bilik pameran yang lebih luas.
Sejumlah RM8 juta diperuntukkan untuk dua segmen perniagaan baharu iaitu peralatan sebagai perkhidmatan (EaaS) dan perkhidmatan pengurusan aset peranti kesihatan (MEAMS), RM16 juta pula diketepikan sebagai pembayaran balik pinjaman bank, RM6.1 juta untuk modal kerja dan baki RM5.5 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.
Bercakap semasa pelancaran prospektusnya hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LAC Med, Liew Yoon Poh berkata syarikat itu menggunakan bakat Indonesia dalam pengembangan perniagaan tersebut, bertujuan meniru kejayaan yang telah dicapai di Malaysia.
"Aspirasinya adalah untuk mengulangi semula yang telah kami capai di Malaysia bagi mencapai skala yang besar di Indonesia. Pada fasa permulaan ini, fokus kami adalah untuk melahirkan bakat dan individu yang tepat supaya operasi kami stabil sebelum berkembang pantas.
"Infrastruktur dan sumber juga mesti disediakan untuk menyokong pertumbuhan kerana kami tidak mahu (keadaan) yang mana selepas produk siap, infrastruktur masih belum tersedia," katanya.
Liew menambah perkhidmatan pengurusan aset syarikat akan menggabungkan keupayaan kecerdasan buatan (AI), selaras dengan hala tuju inovasinya.
Sementara itu, IPO LAC Med merangkumi sejumlah 104.2 juta saham biasa pada harga terbitan 75 sen sesaham, yang terdiri daripada terbitan awam sebanyak 74.2 juta saham biasa baharu dan tawaran untuk penjualan membabitkan 30 juta saham biasa sedia ada.
Di bawah terbitan awam itu, 50 juta saham diperuntukkan pada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), 20 juta saham disediakan kepada orang awam melalui pengundian, yang mana 50 peratus diketepikan untuk pelabur Bumiputera dan baki 4.2 juta saham akan disediakan kepada pengarah, pekerja serta individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.
Tawaran untuk jualan sebanyak 30 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur institusi dan terpilih melalui penempatan persendirian.
Modal saham yang diperbesar syarikat selepas penyenaraian akan terdiri daripada 400 juta saham dan permodalan pasaran yang diperbesarkan sebanyak RM300 juta.
Permohonan untuk bahagian terbitan awam dibuka hari ini dan akan ditutup menjelang 5 petang, 25 November 2025.
RHB Investment Bank Bhd merupakan penasihat utama, penaja jamin bersama dan ejen penempatan tunggal untuk IPO manakala Alliance Islamic Bank Bhd adalah penaja jamin bersama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial