EKONOMI > BERITA

PETRONAS ISYTIHAR PROJEK GAS ASLI DI SURINAME BERDAYA MAJU SEBAGAI KOMERSIAL

14/11/2025 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Syarikat minyak dan gas nasional, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah mengumumkan bahawa projek gas asli di Suriname dianggap berdaya maju secara komersial.

Pengisytiharan Kebolehdapatan Komersial (DoC) untuk medan Sloanea di Blok 52, dibuat bersama anak syarikat milik penuhnya, Petronas Suriname E&P B.V., dan rakan kongsinya dari Amerika Selatan, Staatsolie Maatschappij Suriname NV, menandakan bahawa projek itu kini bersedia untuk bergerak ke fasa pembangunan.

Petronas dalam satu kenyataan hari ini berkata ia menandakan pencapaian pembangunan gas pertama Suriname dalam landskap tenaga laut dalam yang semakin berkembang.

“DoC mengesahkan kesediaan projek berkenaan untuk maju daripada penemuan kepada pembangunan, tertakluk kepada keputusan muktamad terhadap pelaburan berkenaan.

“Ia dibina berdasarkan momentum positif daripada kejayaan penerokaan Sloanea-1 pada 2020, pada masa sama menekankan keyakinan kedua-dua pihak terhadap potensi hidrokarbon lembangan luar pesisir Suriname dan komitmen bersama untuk membuka potensi laut dalam di Suriname,” katanya.

Naib Presiden Aset Antarabangsa Huluan Petronas Mohd Redhani Abdul Rahman berkata DoC Sloanea-1 mengesahkan kebolehlaksanaan ekonomi medan tersebut ke arah pembangunan dan pengkomersialan.

Pencapaian penting ini menggariskan kerjasama yang mantap dan kepercayaan bersama antara Petronas dan Staatsolie, diasaskan pada kecekapan teknikal, pengawasan alam sekitar dan komitmen untuk memberikan manfaat bersama kepada rakyat Suriname.

Petronas memeterai kontrak perkongsian pengeluaran untuk Blok 52 pada 2013 dan sejak itu telah mencapai tiga penemuan penting dalam blok tersebut.

Petronas adalah pengendali Blok 52 dengan 80 peratus kepentingan penyertaan, manakala baki 20 peratus dipegang oleh anak syarikat Staatsolie, Paradise Oil Company.

Ia kini memegang kepentingan dalam lapan blok luar pesisir di Suriname, Blok 9, 10, 48, 52, 53, 63, 64 dan 66, mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan kongsi yang komited dalam agenda pertumbuhan tenaga Suriname.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan