KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Indeks Pengurus Pembelian (PMI) sektor pembuatan Malaysia meningkat kepada 50.1 pada November berbanding 49.5 pada Oktober disokong oleh lonjakan dalam tempahan baharu yang mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih tiga tahun, kata MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).
Memetik tinjauan terbaharu S&P Global, MBSB IB berkata PMI mencapai paras tertinggi sejak Mei 2024, menandakan pengembangan pertamanya dalam aktiviti perkilangan selepas 17 bulan berturut-turut mengalami penguncupan.
“Tempahan baharu itu meningkat buat kali ketiga dalam tempoh empat bulan, mencatatkan kadar terpantas sejak April 2022, manakala permintaan asing menurun sedikit.
“Firma meningkatkan pembelian bagi bulan kelima berturut-turut, disokong oleh peningkatan pertama dalam prestasi vendor sejak Mei 2025,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
MBSB IB berkata inventori pra pengeluaran merosot bagi bulan kelima apabila firma mengurangkan stok untuk pengeluaran, sementara pekerjaan berkembang pada kadar terpantas sejak September 2022, sekali gus menamatkan tempoh empat bulan pengurangan pekerjaan dan tunggakan pekerja susut pada kadar paling mendadak sejak Oktober 2023.
Dari segi harga, bank itu berkata inflasi kos input meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh empat bulan susulan harga bahan mentah yang lebih tinggi, menyebabkan kenaikan paling mendadak dalam caj keluaran dalam tempoh 15 bulan.
Selain itu, katanya, sentimen optimistik juga mungkin mencerminkan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Amerika Syarikat-Malaysia, yang memberikan akses pasaran dan memintas tarif 18 peratus ke atas barangan terpilih.
“Data terdahulu menunjukkan pertumbuhan pengeluaran perindustrian meningkat kepada 5.7 peratus tahun ke tahun pada September 2025, meningkat daripada 4.8 peratus pada Ogos, menandakan pengembangan terpantas dalam aktiviti perindustrian sejak Julai 2024.
“Kami menjangkakan bacaan yang lebih kukuh bagi Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Oktober 2025, disokong oleh peningkatan mendadak eksport sebanyak 15.7 peratus tahun ke tahun, berbanding dengan 12.5 peratus pada September, dan PMI November yang kukuh, yang menandakan potensi aliran menaik dalam pertumbuhan IPI dan momentum yang lebih kukuh pada masa hadapan,” katanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial