EKONOMI > BERITA

NIMP 2030: VISI ZAFRUL SASAR SYARIKAT TEMPATAN JADI PENERAJU GLOBAL

02/12/2025 04:30 PM

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin & Nur Aiman Najwa Dzamae

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang menamatkan tugas sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri hari ini, meninggalkan visi untuk masa depan Malaysia, menyasarkan syarikat daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hingga pemain utama menjadi peneraju pada peringkat global.

Teras visi ini ialah keyakinan beliau yang tinggi terhadap Pelan Induk Perindustrian Negara (NIMP) 2030, sebuah pelan strategik yang dilancarkan hanya dua tahun lepas untuk meningkatkan keupayaan sektor pembuatan Malaysia dan menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara.

Dalam tempoh yang agak singkat, NIMP telah menjana hasil, dengan Malaysia mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan nilai tambah lebih tinggi, peluang pekerjaan yang meningkat dan gaji lebih tinggi selain menghasilkan projek-projek utama seperti kilang pintar dan pembangunan kenderaan elektrik (EV).

Tengku Zafrul, yang menerajui NIMP 2030 sejak dilancarkan pada 1 Sept 2023 dan sembilan bulan selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri MITI pada Disember 2022, telah memainkan peranan penting dalam membentuk usaha Malaysia untuk mencapai matlamatnya.

“Saya telah terlibat secara peribadi dalam pembangunan NIMP 2030. Saya berharap NIMP 2030 dapat memupuk pertumbuhan inklusif merentasi semua wilayah dan sektor. Dengan memberi keutamaan kepada sokongan untuk PKS, syarikat peringkat pertengahan dan perniagaan di wilayah kurang membangun, kami memastikan manfaat pemodenan industri dikongsi secara meluas.

“Keterangkuman ini menjadi elemen penting untuk mewujudkan ekonomi yang seimbang apabila tiada wilayah atau sektor yang ketinggalan, memperkukuh daya tahan dan keharmonian dalam seluruh ekosistem perindustrian kita,” katanya kepada Bernama dalam temu bual sehari sebelum tempoh beliau di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berakhir.

 

NIMP 2030 pemacu utama untuk perindustrian Malaysia 

Malah, pada hari kedua terakhir beliau, Tengku Zafrul optimis mengenai program tersebut, berkongsi bahawa cabaran semasa, yang kebanyakannya adalah tidak dijangka, memperkukuh justifikasi bahawa NIMP 2030 perlu memainkan peranan yang lebih penting.

“Kami tidak menjangka dunia akan menghadapi cabaran terhadap rantaian bekalan seperti hari ini. Kini terdapat banyak gangguan dan sudah tentu, halangan perdagangan dalam bentuk tarif,” katanya.

Beliau merujuk kepada senario perdagangan global yang terganggu pada April lepas apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump membuat langkah mengejut untuk mengenakan tarif ke atas majoriti rakan dagangannya, termasuk Malaysia.

Selepas pelaksanaan NIMP, sektor pembuatan kini menunjukkan momentum dan pulangan yang menggalakkan. 

Ini dapat dilihat daripada nilai tambah kepada KDNK, yang meningkat 3.7 peratus pada suku kedua 2025 berbanding tempoh sama pada tahun lepas, menjadikan jumlah keseluruhan RM96.9 bilion.

Pada masa yang sama, gaji median meningkat daripada RM2,360 pada 2023 kepada RM2,490 pada 2024, naik 5.4 peratus dan sejajar dengan pertumbuhan sektor pembuatan, yang menawarkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi.

Beberapa projek dan inisiatif utama di bawah NIMP 2030 juga telah menunjukkan kemajuan yang baik, termasuk Smart Tech-Up dan Program Pengiktirafan Kilang Pintar.

Sehingga suku ketiga 2025, sejumlah 26 syarikat telah diiktiraf sebagai kilang pintar, dengan tambahan 44 syarikat dijangka menerima pengiktirafan menjelang akhir tahun.

Angka ini melepasi sasaran 2025 sebanyak 40 kilang pintar.

Satu lagi inisiatif yang menjana hasil ialah Dana Pelaburan Bersama Strategik NIMP (CoSIF), dilancarkan pada Februari lepas dengan peruntukan RM131.5 juta.

Sehingga Oktober 2025, enam kempen pengumpulan dana telah selesai dan 40 kempen baharu telah dikenal pasti, dengan jumlah sasaran pengumpulan dana sebanyak RM160 juta.

Beliau turut menekankan bahawa kemajuan dalam pembangunan kenderaan elektrik (EV) dapat dilihat selepas pelancaran QV-E Perodua semalam.

 

Daripada jurang pembangunan kepada pertumbuhan hijau 

Satu lagi hasrat utama beliau ialah NIMP 2030 dapat memacu pembangunan industri yang mampan dan hijau, sejajar dengan matlamat sifar bersih dan ekonomi kitaran Malaysia.

“Kilang pintar, pelaburan hijau dan inisiatif pengurangan karbon perlu menjadi norma dan bukan pengecualian, menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar boleh bergerak seiring," katanya.

Bagi mengekalkan impak NIMP 2030, tadbir urus yang kukuh, pemantauan dan pelaksanaan yang fleksibel adalah penting.

Mekanisme seperti pejabat Unit Pengurusan Penyampaian di MITI memastikan penyeliaan yang selaras, penilaian tepat pada masanya dan keupayaan untuk menentukur inisiatif berdasarkan keputusan dan trend global yang wujud.

Walaupun benar bahawa kilang pintar kini tertumpu di negeri-negeri yang lebih maju, Tengku Zafrul berkata MITI komited untuk memastikan keadaan ini tidak meluaskan jurang pembangunan antara wilayah.

Di bawah Misi 4 NIMP 2030, yang fokus kepada keterangkuman, inisiatif bersasar disediakan untuk memastikan PKS dan syarikat peringkat pertengahan di semua wilayah, termasuk kawasan kurang membangun, mempunyai akses kepada sokongan yang diperlukan untuk menerima pakai amalan pembuatan pintar.

Malah, katanya program Smart Tech Up terbuka kepada syarikat dari semua negeri dan pasukannya telah mengadakan jerayawara.

 

Memastikan 3,000 kilang pintar berdaya saing sehingga 2030

Ringkasnya, Malaysia sedang berusaha memastikan kilang-kilang pintar ini dibangunkan untuk berubah secara modular serta mampu bertahan menerusi pempelbagaian bekalan serta analitik, kata Tengku Zafrul.

“Kilang-kilang ini perlu direka untuk mampu mengintegrasi aspek automasi baharu, pendigitalan serta penyelesaian analisis data seiring kemunculannya dan membolehkan usaha naik taraf tanpa perlu melakukan pengubahsuaian besar-besaran.

“Pendekatan sedemikian akan memastikan operasi kekal cekap, berdaya saing selain dapat disesuaikan dengan kepesatan evolusi teknologi Industri 4.0,” katanya.

Bagi mencapainya, MITI serta rakan teknikal seperti SIRIM Bhd sentiasa memantau trend global Industri 4.0 serta merangka hala tuju teknologi untuk membantu perancangan kilang menaik taraf teknologi seiring dengan kemajuan semasa.

Sehubungan itu, menerusi program seperti Smart Tech Up, SIRIM menyediakan sokongan nasihat dan  membina keupayaan yang berterusan kepada para pengilang.

Ini termasuk aspek kesiapsiagaan, hala tuju teknologi serta garis panduan amalan terbaik yang membantu kilang-kilang melaksanakan automasi, pendigitalan serta operasi berasaskan data yang boleh berkembang sejajar dengan kemajuan teknologi.

Garis panduan strategik sedemikian membolehkan pengilang melabur dalam usaha penambahbaikan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inisiatif membina daya tahan.

Pada masa sama, kalangan pekerja juga perlu dilatih serta meningkatkan kemahiran secara konsisten untuk beroperasi secara cekap serta mengoptimumkan teknologi-teknologi baharu.

“Teknologi maju ini sia-sia jika tiada pekerja mahir untuk mengendalikannya.

“Akhir sekali, pelaksanaan dasar serta mekanisme sokongan kewangan seperti CoSIF dan rangka kerja insentif lain dapat memastikan syarikat-syarikat ini mempunyai akses terhadap pembiayaan naik taraf teknologi dan projek meningkatkan daya tahan,” katanya.

 

NIMP 2030 pencetus kerjasama dalam industri Malaysia

“Saya berharap NIMP 2030 ini mencetuskan inspirasi bagi pembudayaan inovasi dan kerjasama merentasi sektor perindustrian Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul juga menyifatkan usaha memupuk kerjasama antara kerajaan, akademia dan industri, penggalakan pelaburan menerusi teknologi maju serta pembangunan bakat menerusi inisiatif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan dan Teknikal Vokasional (TVET), Malaysia tidak hanya menepati sasaran digariskan NIMP 2030, tetapi turut membangunkan ekosistem yang berdaya tahan, berpandangan jauh serta kompetitif secara global untuk generasi akan datang.

“Menerusi TVET, kita mahu memperkenalkan “Duta Teknologi” di kilang-kilang dan atas alasan ini, TVET menumpukan kemahiran yang praktikal. Kita mempunyai pelbagai program yang menawarkan pelbagai peluang untuk pelatih atau penuntut bekerja sambil belajar.

“Kita juga melakukan latihan praktikal, bukan setakat dalam kelas tetapi (secara terus di lapangan) kilang yang akan mendedahkan mereka kepada mekanisme dan teknologi paling sofistikated yang tidak terdapat di universiti mahu pun pusat-pusat TVET,” katanya.

 

Tengku Zafrul sedia membantu pengganti

Dalam pada itu, Tengku Zafrul baru-baru ini turut menyatakan kesediaan membantu pengganti beliau selepas penggal sebagai Senator berakhir pada 2 Disember ini.

Beliau juga telah menzahirkan hasrat itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menunggu keputusan membabitkan kepimpinan baharu kementerian itu.

“Jika ditanya apakah perkara paling menarik, ini melibatkan kesemua mereka di sebalik inisiatif yang ada. Saya bernasib baik dapat berkhidmat di MITI yang saya anggap sebagai keluarga.

“Ya, memang sedih tidak dapat bersama mereka untuk tempoh lebih lama, namun saya berharap usaha yang dilaksanakan sejak tiga tahun lepas akan berterusan. Saya juga yakin ini akan diteruskan dan amat berterima kasih kepada pasukan di sini,” katanya.

Pada Isnin, Perdana Menteri berkata Tengku Zafrul akan dilantik ke jawatan baharu.

Ini turut menjadi isyarat selain penghargaan Perdana Menteri terhadap sumbangan Tengku Zafrul untuk perindustrian serta keperluan bagi membolehkan beliau terus berbakti kepada negara.

“Saya tahu apa yang beliau lakukan dalam mengembangkan jaringan perdagangan antarabangsa,” kata Anwar, semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan