EKONOMI > BERITA

LIMA BANK DIGITAL CATAT DEPOSIT BERJUMLAH RM3.1 BILION SETAKAT SEPTEMBER 2025 - MOF

02/12/2025 10:20 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Sebanyak lima bank digital telah beroperasi dengan mencatatkan deposit berjumlah RM3.1 bilion setakat September 2025, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, MoF memaklumkan bahawa lima bank digital yang telah beroperasi ialah GX Bank, AEON Bank, Boost Bank, KAF Digital Bank dan Ryt Bank yang melibatkan seramai 1.97 juta pelanggan.

"Ini mencerminkan pertumbuhan asas pelanggan yang kukuh. Hampir 60 peratus daripada pelanggan ini terdiri daripada golongan sasar iaitu mereka yang kurang akses kepada kemudahan kewangan," menurut MoF.

Kementrian itu menjawab soalan Senator Norhasmimi Abdul Ghani berkenaan jenis produk dan perkhidmatan utama yang ditawarkan oleh bank-bank digital di Malaysia pada masa ini, dan sejauh manakah produk-produk tersebut benar-benar membantu golongan berpendapatan rendah (B40).

Menurut MoF, semua bank digital kini menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan melalui saluran digital sepenuhnya, termasuk tabung simpanan yang bertujuan menggalakkan amalan menabung dalam kalangan pengguna.

Katanya selain fungsi simpanan dan pembayaran, bank digital  sudah pun secara berfasa memperkenalkan produk pembiayaan yang memberi tumpuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya perniagaan peringkat awal, individu bekerja sendiri dan pemilik tunggal.

"Melalui kerjasama dengan syarikat insurans, sesetengah bank digital turut menawarkan perlindungan mikro insurans dengan premium berpatutan untuk melindungi pengguna daripada kerugian yang disebabkan penipuan siber, transaksi tidak sah atau kemalangan," kata MoF.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan