EKONOMI > BERITA

TASIK KENYIR BELUM BERSEDIA UNTUK HAB DATA , AI -- MITI

02/12/2025 10:43 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Cadangan untuk membangunkan Tasik Kenyir sebagai hab pusat data berskala besar belum sesuai untuk dilaksanakan buat masa ini,  kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di portal Parlimen, MITI berkata tumpuan pelabur pada masa ini masih terarah kepada lokasi strategik yang mempunyai ekosistem digital yang matang dan ketersambungan antarabangsa yang sedia ada.

“Oleh itu, mengambil kira faktor kritikal kekurangan infrastruktur telekomunikasi berkapasiti tinggi dan ketiadaan permintaan pasaran semasa, cadangan untuk membangunkan Tasik Kenyir sebagai hab pusat data berskala besar belum sesuai untuk dilaksanakan buat masa ini,” kata kementerian itu.

Menyentuh mengenai aspek infrastruktur, MITI berkata pembangunan infrastruktur ketersambungan terkhusus berkelajuan tinggi adalah antara cabaran utama yang perlu ditangani bagi merealisasikan potensi Tasik Kenyir sebagai hab pelaburan pusat data dan kecerdasan buatan (AI).

Menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Amzad Mohamed (Kuala Terengganu- PN) mengenai komitmen kementerian itu dalam merealisasikan potensi Tasik Kenyir sebagai hab pusat data dan AI, MITI berkata operasi pusat data berskala besar, hab AI serta pusat pemprosesan Data Besar yang disasarkan oleh syarikat teknologi global, memerlukan kelajuan sambungan yang lebih tinggi dalam menangani trafik data yang intensif dan aplikasi masa nyata.

“Sambungan gentian optik yang diperlukan lazimnya bermula daripada kelajuan 10 gigabit per saat (Gbps), 40Gbps dan 100Gbps. Kini, permintaan kelajuan telah berkembang kepada 400Gbps hingga 800Gbps.

“Keperluan ini jauh berbeza dengan pusat data berskala kecil, seperti untuk kegunaan perusahaan kecil dan sederhana atau institusi pendidikan yang mungkin memadai dengan kelajuan sekitar 1Gbps,” jelas MITI.

Berdasarkan maklum balas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, walaupun terdapat akses talian tetap dan liputan 4G di kawasan Tasik Kenyir, infrastruktur ketersembungan sedia ada masih belum mencapai tahap kapasiti, kelajuan serta kebolehpercayaan yang diperlukan bagi operasi pusat data global yang melibatkan proses pemindahan dan pemprosesan data berskala besar.

“Justeru itu, pihak kerajaan mencadangkan agar kerjasama dengan kerajaan negeri dibuat untuk melaksanakan Kajian Kesesuaian Tapak serta Analisis Kos-Faedah ke atas Tasik Kenyir sebagai hab pusat data dan AI pada masa hadapan,” katanya lagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan