EKONOMI > BERITA

SEKTOR PERBANKAN MALAYSIA BERDAYA TAHAN WALAUPUN BERDEPAN TEKANAN TARIF, DIJANGKA KEKAL STABIL PADA 2026

07/12/2025 09:09 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Sektor perbankan Malaysia mengakhiri tahun 2025 dengan kedudukan yang lebih baik, mencatatkan pertumbuhan pinjaman yang kukuh, kualiti aset yang stabil dan keuntungan yang mampan walaupun tahun ini diselubungi ketegangan perdagangan global manakala prospek untuk tahun depan kekal stabil dalam portfolio yang pelbagai.

Antara perkembangan paling ketara dalam landskap kewangan domestik pada tahun ini ialah pengambilalihan Export-Import Bank of Malaysia (Exim Bank) dan Small Medium Enterprise Development Bank (SME Bank) oleh Bank Pembangunan Malaysia Bhd pada Mei 2025. 

Pengambilalihan saham telah selesai berdasarkan aset ketara bersih Exim Bank dan SME Bank setakat 31 Dis 2023.

Selepas selesai pengambilalihan itu, ketiga-tiga bank tersebut berada pada kedudukan yang lebih baik untuk memperluas dan memperkukuh mandat sedia ada mereka bagi merapatkan jurang pembiayaan pembangunan negara.

 

Prestasi Suku Ketiga Baik Walaupun Berdepan Ketidaktentuan 

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama bahawa sektor itu mencatatkan prestasi yang baik walaupun ekonomi global bergelut dengan ketidaktentuan berikutan kejutan tarif Amerika Syarikat (AS) dan kebimbangan mengenai geopolitik.

“Pulangan ekuiti bank meningkat kepada 13.3 peratus pada suku ketiga, lebih tinggi daripada 12.4 peratus dalam tempoh sama pada 2024.

“Jumlah pertumbuhan pinjaman pada Januari 2025 sebanyak 5.6 peratus. Ia mencapai paras terendah sebanyak 5.1 peratus pada Jun 2025 tetapi naik secara berperingkat kepada 5.5 peratus pada September 2025,” katanya. 

Mohd Afzanizam berkata bank giat mencatatkan jualan yang memberangsangkan pada tahun ini, dengan jumlah nisbah modal merosot sedikit daripada 18.4 peratus pada Januari 2025 kepada 17.9 peratus pada September 2025.

Ketua Ahli Ekonomi AmBank Group Firdaos Rosli yang berkongsi pandangan yang sama berkata kualiti aset kekal berdaya tahan dengan nisbah pinjaman susut nilai kasar meningkat kepada 1.41 peratus sehingga September 2025, turun sedikit daripada 1.43 peratus pada bulan sebelumnya.

 “Peningkatan ini disokong oleh keadaan pasaran tenaga kerja yang menggalakkan apabila kadar pengangguran kekal stabil pada 3.0 peratus pada bulan yang sama,” katanya.

 

Pertumbuhan Pinjaman Didorong Segmen Bukan Isi Rumah 

Mohd Afzanizam berkata trend pinjaman pada 2025 mencerminkan aktiviti yang kukuh dalam segmen bukan isi rumah, terutamanya dalam kalangan industri berkaitan pembuatan.

Beliau berkata sektor bukan isi rumah, yang menyumbang kira-kira 40 peratus daripada jumlah pinjaman, telah meningkat pada kadar yang lebih cepat sebanyak 5.5 peratus tahun ke tahun pada September 2025 daripada 5.0 peratus pada Januari 2025.

Ini didorong terutamanya oleh sektor pembuatan seperti produk makanan, jentera dan peralatan elektrik, elektrik dan air serta pembinaan.

Pinjaman isi rumah, yang terdiri daripada kira-kira 60 peratus daripada jumlah pinjaman, berkembang pada kadar yang perlahan sebanyak 5.5 peratus tahun ke tahun pada September 2025 berbanding 6.0 peratus pada Januari 2025, didorong oleh pertumbuhan kenderaan penumpang, harta kediaman dan kegunaan peribadi yang perlahan.

Sementara itu, Firdaos berkata prestasi pertumbuhan pinjaman yang kukuh didorong terutamanya oleh segmen kediaman, bukan kediaman dan automotif.

“Terdapat banyak pelancaran kereta baharu pada tahun ini, yang menyumbang kepada pertumbuhan pinjaman kenderaan,” katanya.

Beliau berkata Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang stabil mendorong kepada pertumbuhan pinjaman hartanah kediaman yang mampan.

“Landasan kadar faedah yang lebih rendah dan dapat dijangka menyokong pertumbuhan pinjaman pada tahun ini. Sistem perbankan Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang kukuh pada awal tahun, disokong oleh pinjaman isi rumah dan pinjaman bukan isi rumah, yang terus meningkat.

“Dalam segmen isi rumah, kami mendapati kad kredit kekal sebagai pemacu utama. Selain itu, angkanya kekal 7.0 peratus hingga 9.0 peratus setakat ini, menunjukkan bahawa perbelanjaan pengguna kekal kukuh,” katanya.

 

Penurunan OPR Membantu Mengekalkan Keyakinan 

Bank Negara Malaysia (BNM) telah menurunkan OPR daripada 3.0 peratus kepada 2.75 peratus tahun ini.  

“Walaupun kita melihat OPR lebih rendah pada tahun ini berbanding 2024 berikutan satu penurunan kadar pada Julai, ini akan membawa kepada margin faedah bersih (NIM) yang stabil disebabkan bank dapat menjangka landasan kadar pada masa depan dan menyelaraskannya mengikut keputusan bank pusat.

“Oleh itu, ini dapat mengurangkan risiko impak negatif ke atas pendapatan. Selain itu, ini juga dapat meningkatkan keyakinan pengguna seperti yang dapat dilihat dalam pertumbuhan pinjaman untuk pembelian menggunakan kad kredit berdasarkan kos pinjaman yang menjadi lebih mampu milik,” kata Firdaos.

Mohd Afzanizam berkata penurunan OPR akan memberi impak yang ketara ke atas pendapatan bank sama ada NIM bagi bank konvensional atau margin pendapatan bersih (NIM) bagi bank Islam berikutan kadar faedah bagi pinjaman konvensional atau kadar keuntungan bagi aset pembiayaan Islam akan turun serta-merta terutamanya bagi kontrak pembiayaan dengan kadar berubah-ubah.

“Bagaimanapun, kadar deposit, terutamanya kadar deposit tetap, hanya akan diselaraskan menjadi lebih rendah apabila kontrak itu matang. Oleh itu, buat sementara waktu, NIM akan mengecil apabila OPR diturunkan.

“Setakat ini, pertumbuhan ekonomi adalah stabil dan dijangka berkembang dalam julat unjuran,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya kadar inflasi turut berada pada kadar yang sederhana.

“Oleh itu, dilihat tiada keperluan mendesak untuk BNM menurunkan OPR dalam masa terdekat. Bagaimanapun, kami percaya bank pusat akan terus berhati-hati terutamanya terhadap impak tarif AS, yang dijangka dirasai sepenuhnya pada 2026.

“Pada asasnya, walaupun OPR dijangka kekal pada 2026, kemungkinan ia diturunkan tidak boleh ditolak sepenuhnya. Sehubungan itu, bank akan berhati-hati mengenai risiko OPR yang lebih rendah pada tahun depan,” katanya.

 

Ketegangan Perdagangan Dijangka Mempengaruhi Prospek 

Firdaos berkata walaupun tarif AS meningkat dengan ketara sejak April 2025 berikutan pelaksanaan tarif timbal balas oleh AS, nilai perdagangan mencapai paras tertinggi pada Jun 2025 dan kini dicatatkan sederhana.

Bagaimanapun, dari perspektif pertumbuhan, ia mencapai paras tertinggi sebanyak 14.4 peratus pada Julai 2024 dan telah menunjukkan trend penurunan sejak itu, bukan sahaja disebabkan tarif AS malah, yang lebih penting, kesan asas yang tinggi.

“Pentadbiran AS telah memberikan banyak pengecualian daripada tarif timbal balas, dengan yang terkini diumumkan pada 14 Nov 2025.

“Berdasarkan inflasi AS kekal tinggi, kita boleh menjangka lebih banyak pengecualian pada masa depan. Keyakinan pelabur dijangka berhati-hati tetapi ia mungkin tidak seteruk yang dibimbangkan sebelum ini,” katanya.

Firdaos menegaskan bahawa walaupun tarif timbal balas mungkin secara tidak langsung memberi impak kepada bank-bank di Malaysia melalui nilai perdagangan yang lebih rendah, risiko sistemik atau petunjuk daripada kelembapan kredit dan peningkatan pinjaman tidak berbayar dalam sektor yang berisiko terjejas kekal rendah dalam portfolio yang pelbagai.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan