EKONOMI > BERITA

2025: SEKTOR PELABUHAN LAKAR PRESTASI TERBAIK NAMUN PERKAPALAN, PENGANGKUTAN MASIH HARUNGI GELORA, RANJAU

07/12/2025 09:20 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Sektor maritim Malaysia sedang “berlayar” menuju ke penamat 2025 dalam keadaan yang “berombak”, dengan subsektor seperti pelabuhan melakarkan prestasi paling cemerlang didorong oleh peluasan rangkaian pemindahan ke kapal melalui kerjasama rakan antarabangsa.

Bagaimanapun, sektor perkapalan dan pengangkutan darat masih bergelut dengan “gelora” dan “ranjau” yang datang dari segenap arah.

Dari perspektif pelabuhan, sektor maritim Malaysia menempa satu lagi pencapaian apabila Pelabuhan Klang secara rasmi berada dalam kelompok 10 Pelabuhan Kontena Terbaik Dunia berdasarkan senarai 100 Pelabuhan Terbaik Dunia 2025 oleh Lloyd’s List, selepas merekodkan pengendalian sebanyak 14.64 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada 2024.

Momentum pertumbuhan itu terus didorong apabila A.P. Moller-Maersk (Maersk) melancarkan Pusat Pengedaran Mega Maersk di Shah Alam, Selangor -- kemudahan logistik kontrak terbesarnya di Asia Pasifik -- sekali gus menambah jejak gudang mereka di Malaysia lebih daripada 30 peratus.

Dalam masa sama, MMC Port Holdings Bhd, pengendali pelabuhan terbesar negara, menerima lampu hijau daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Langkah itu menjana tawaran awam awal (IPO) berskala besar, dengan tawaran jualan 4.27 bilion saham atau pegangan 30 peratus oleh pemegang saham tunggalnya, MMC Corporation Bhd (MMC Corp).

IPO tersebut berpotensi mengumpul sekitar RM8.5 bilion, dengan keseluruhan hasil disalurkan kepada MMC Corp seperti dilaporkan sebelum ini, meskipun konglomerat itu kekal berdiam diri mengenai butiran lanjut.

MMC Port mengurus enam pelabuhan iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Johor, Pelabuhan Utara (satu daripada dua pintu masuk laut utama negara), Pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Tanjung Bruas dan Pelabuhan Andaman serta tiga terminal kapal persiaran.

 

Pembiayaan, Pematuhan dan Ketidaktentuan Pasaran

 

Bagaimanapun, keadaan berbeza bagi sektor perkapalan kerana subsektor itu terus bergelut dengan “ombak” yang berulang-ulang, khususnya kekangan pembiayaan, tekanan kos dan ketidaktentuan pasaran.

Meskipun wujud permintaan yang terhasil daripada pelencongan laluan dan pergerakan akibat ketegangan geopolitik sepanjang tahun namun industri perkapalan masih mengalami kesukaran dengan pengurangan kumpulan kapal apabila pemilik kapal menghadapi syarat pematuhan yang semakin ketat, kekangan pembiayaan, serta peningkatan kos operasi dan kos berkaitan alam sekitar.

Pengerusi Persatuan Pemilik-Pemilik Kapal Malaysia (MASA) Mohamed Safwan Othman sebelum ini berkata pembiayaan kekal sebagai cabaran besar bagi pemilik kapal, selain keperluan untuk mematuhi peraturan kemampanan antarabangsa.

Beliau berkata Bank Negara Malaysia (BNM) berperanan penting dalam menyediakan rangka kerja yang betul untuk menambah baik insentif kewangan sedia ada dan menawarkan pembiayaan mampan bagi industri perkapalan di Malaysia.

“Lebih banyak penyertaan daripada bank lain terutama bank komersial, adalah penting untuk industri. Kita telah bekerjasama dengan mereka serta BNM. Mereka bersedia untuk menyokong namun memerlukan dasar dan garis panduan yang betul daripada BNM,” katanya.

Mohd Safwan berkata kebanyakan kapal Malaysia semakin usang dan kos penggantian kumpulan kapal perlu mengambil kira opsyen baharu seperti bahan api alternatif atau kapal dwi-bahan api.

“Kami juga mengalu-alukan berita mengenai komitmen kerajaan dalam menjadikan pelabuhan kita lebih lestari, selamat, dan yang paling penting, lebih cekap,” katanya.

MASA telah membentangkan Analisis Jurang Pembiayaan Maritim pada mesyuarat Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Kebangsaan (NSPC) 2025 yang diadakan baru-baru ini.

Kajian itu mengenal pasti cabaran utama yang dihadapi kalangan pemilik kapal tempatan dalam mendapatkan pembiayaan untuk kapal di samping menekankan keperluan mendesak bagi mewujudkan ekosistem pembiayaan maritim yang lebih kompetitif dan khusus di Malaysia.

Pembentangan tersebut meraih sokongan positif daripada Kementerian Pengangkutan (MOT), BNM dan kementerian serta agensi lain yang berkaitan sekali gus mencerminkan komitmen bersama yang kukuh dalam menangani isu halangan pembiayaan yang sekian lama mengekang pertumbuhan kumpulan kapal Malaysia.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook yang menghadiri taklimat itu mengakui cabaran semasa dalam mendapatkan pembiayaan kapal di samping hanya segelintir bank perdagangan di Malaysia yang bersedia membiayai pemilik kapal.

Hal itu ekoran persepsi bahawa sektor tersebut memerlukan modal yang tinggi dan menawarkan keuntungan yang terhad.

Beliau telah meminta BNM untuk membangunkan rangka kerja pembiayaan kapal yang khusus, dengan peraturan dan garis panduan yang lebih jelas bagi membantu bank tempatan memahami struktur operasi serta profil risiko industri perkapalan dengan lebih mendalam.

Pembentangan mengenai penubuhan Dana Pembangunan Perkapalan Malaysia di bawah Akta Perkapalan Saudagar (Pindaan) 2017 [Akta A1551], yang menyediakan mekanisme pembiayaan mampan untuk pembangunan industri perkapalan tempatan juga dibentangkan dalam mesyuarat yang sama.

Langkah itu juga bertujuan mengurangkan kebergantungan pada peruntukan belanjawan tahunan kerajaan selain menyokong pelaksanaan dasar-dasar maritim utama negara dan memastikan kesinambungan insentif cukai korporat 100 peratus bagi syarikat perkapalan tempatan.

 

Perubahan Pengawalseliaan dan Tekanan Industri

 

Sasaran ini juga sejajar dengan matlamat Malaysia untuk menambah baik kesalinghubungan dan peralihan penghantaran barangan daripada jalan raya kepada rel untuk mengurangkan kesesakan jalan raya dan impak alam sekitar yang menjadi aspek penting dalam Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030.

DPN Malaysia menyasarkan peralihan penghantaran barangan daripada jalan raya kepada rel dengan menambah baik infrastruktur, kapasiti dan perkhidmatan rel.

Dalam peralihan “Jalan raya kepada Rel”, syarikat pengangkutan memainkan peranan penting dalam menghubungkan peringkat terakhir dalam proses penghantaran antara hab rel, pelabuhan dan lapangan terbang untuk memastikan logistik adalah lancar.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Haulier Malaysia (AMH) Mohamad Azuan Masud berkata pelan ini adalah langkah positif yang dapat mengurangkan kesesakan di pelabuhan utama, kebergantungan pada kapasiti jalan raya dan meningkatkan kecekapan secara keseluruhan terutamanya di Johor apabila jumlah kenderaan dan trafik berada pada tahap kritikal.

Bagaimanapun, katanya industri pengangkutan kontena berdepan cabaran operasi dan implikasi kos berikutan pematuhan kepada keperluan pemasangan Peranti Had Kelajuan (SLD) dan kenaikan had berat BGK/BDM yang diperkenalkan tahun lepas.

“Dalam penguatkuasaan dasar lebihan muatan pada mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF), pengangkutan kontena merupakan sektor pertama yang dipilih untuk pelaksanaan di seluruh negara, menjadikan kami sebagai landasan untuk pembaharuan sektor pengangkutan negara,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata syarikat pengangkutan tertakluk pada pelbagai lapisan peraturan pada peringkat negara dan antarabangsa selain berdepan kerumitan pematuhan yang tinggi berbanding syarikat pengangkutan lain.

Mohamad Azuan berkata antara pengawal selianya ialah Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat, pihak berkuasa pelabuhan dan pengendali terminal selain piawaian global seperti peraturan Jisim Kasar Disahkan (VGM) di bawah Konvensyen Antarabangsa untuk Keselamatan Nyawa di Laut.

“Momentum itu berterusan pada tahun ini dengan penguatkuasaan dasar lebihan muatan, pelaksanaan keperluan SLD dan pengenalan sistem 'High-Speed Weigh-In-Motion' (HS-WIM) yang tidak lama lagi.

“Secara keseluruhannya, ini merupakan perubahan peraturan paling ketara yang dihadapi industri kami selama lebih sedekad,” katanya.

Mengenai kadar pengangkutan, Mohamad Azuan berkata kadar tersebut tidak berubah sejak penguatkuasaan Akta Persaingan 2010 yang secara tidak langsung menyebabkan kadar tarif tidak berubah.

“Malah, kadar menurun disebabkan lebihan penawaran di pasaran.

“Pengeluaran lesen pengangkutan baharu yang tidak terkawal telah memburukkan lagi keadaan, menyebabkan persaingan harga yang sengit apabila sebahagian pengendali menurunkan harga hanya untuk mengekalkan operasi,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa dengan kos pematuhan baharu dan perbelanjaan operasi yang meningkat, 2026 boleh menjadi tahun yang mencabar.

“Kami menjangka lebih banyak penggabungan, sebahagian pengendali mungkin menutup operasi manakala pendatang baharu terus menyertai dan mencuba nasib mereka. Ia merupakan landskap yang amat kompetitif tetapi tidak stabil,” katanya.

Mengenai prospek tahun depan, Mohamad Azuan berkata kebanyakan syarikat pengangkutan berada di bawah tekanan dengan margin keuntungan yang semakin kecil dan pelbagai dasar baharu yang dikuatkuasakan secara serentak.

“Bagaimanapun, kami mengakui Kementerian Pengangkutan (MOT) sentiasa bekerjasama dengan pihak industri dan memberi jaminan bahawa kepentingan kami turut diambil kira.

“Syarikat pengangkutan tidak meminta layanan istimewa, hanya garis masa yang wajar, penguatkuasaan yang selaras dan pengiktirafan terhadap peranan penting kami dalam memastikan rantaian bekalan Malaysia berjalan lancar,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan