EKONOMI > BERITA

LPPSA PERKUKUH STRATEGI PENDANAAN MENERUSI PROGRAM SUKUK BERPENARAFAN, SOKONG ASPIRASI KUKUHKAN FISKAL KERAJAAN

07/12/2025 10:16 AM

PUTRAJAYA, 7 Dis (Bernama) -- Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) akan melakar sejarah baharu dengan mewujudkan program sukuk pertamanya yang diberi penarafan, pada tahun depan seterusnya menjadi satu langkah strategik yang bertujuan memperluas ekosistem pendanaannya di samping menyokong usaha kerajaan dalam menguruskan liabiliti negara secara berhemat.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Farid Nawawi berkata cadangan penubuhan program sukuk sehingga RM25 bilion itu dijangka meraih penarafan kredit AAA dan keyakinan itu bersandarkan asas kewangan LPPSA yang kukuh, model potongan gaji yang stabil, serta rekod pengurusan kewangan cemerlang sejak penubuhannya di bawah Kementerian Kewangan pada 2016.

Beliau berkata Inisiatif itu membuktikan LPPSA bukan sahaja bergantung kepada Jaminan Kerajaan semata-mata malah juga proaktif mencari mekanisme alternatif untuk mengimbangi keperluan dananya.

“Sebagai sebuah badan berkanun, kami amat prihatin dengan aspirasi kerajaan mengikut Akta Tanggungjawab Fiskal untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

“Walaupun Jaminan Kerajaan kekal relevan bagi memastikan kos dana kami rendah demi mengekalkan kadar pembiayaan mampu milik kepada penjawat awam, penubuhan program sukuk berpenarafan ini adalah bukti komitmen kami untuk tidak membebankan siling jaminan negara secara tidak langsung,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.

Mohd Farid berkata LPPSA mahu membuktikan kepada pelabur bahawa pihaknya mempunyai kualiti kredit tersendiri.

“Aset kami kukuh dan kutipan bulanan kami sangat stabil. Insya-Allah, dengan penarafan AAA, kami mampu menarik segmen pelabur di samping membantu kerajaan mengoptimumkan pengurusan liabiliti kontingen negara,” katanya.

 

Fasiliti RM1 bilion HSBC Bukti Keyakinan Pasaran

 

Mengenai kejayaan kerjasama LPPSA dan HSBC Amanah bagi fasiliti Pembiayaan Berdasarkan Amaun Belum Terima (RF-i)] bernilai RM1 bilion baru-baru ini, beliau menyifatkannya sebagai penanda aras penting penerimaan institusi kewangan terhadap kredit LPPSA tanpa jaminan kerajaan.

“Pengenalan fasiliti ini merupakan satu kejayaan bagi kami. Kami menggunakan aliran tunai bulanan sebagai sandaran kepada bank dan mereka bersetuju memberikan pembiayaan berdasarkan kekuatan kewangan dan operasi kami sendiri,” katanya.

Beliau berkata langkah itu memperkukuh keyakinan terhadap penubuhan program sukuk berpenarafan LPPSA sendiri pada tahun depan untuk menampung keperluan pembiayaan hampir 1.6 juta penjawat awam.

Mengenai kualiti pinjaman, Mohd Farid berkata kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) LPPSA kekal di bawah satu peratus, mencerminkan kualiti aset yang sihat.

Beliau mengakui terdapat cabaran kecil melibatkan anggota tentera yang berdepan perkhidmatan pendek menyebabkan mereka keluar lebih awal sedangkan baki hutang perumahan masih panjang.

“Apabila mereka berhenti, ada yang mendapat kerja lebih baik dan boleh membiayai semula di bank tetapi ada yang tidak. Itu yang menjadi NPL. Bagaimanapun, kerja kami bukan untuk melelong rumah orang, kerja kami adalah membantu mereka mendapatkan kemudahan pembiayaan perumahan,” katanya.

Beliau berkata LPPSA turut menawarkan Pelan Penyelesaian Hutang (DSP) sebagai jalan keluar atau ruang nafas kepada peminjam yang meninggalkan perkhidmatan.

Menerusi DSP, mereka boleh menyusun semula pembayaran sehingga keadaan mereka stabil dan layak mendapatkan pembiayaan semula daripada insititusi luar, katanya.

Mengenai kemungkinan memperkenalkan produk “Rent To Own”, Mohd Farid berkata LPPSA buat masa ini belum melihat sebarang keperluan mendesak bagi tujuan itu, walaupun beberapa bank telah melaksanakannya.

Beliau berkata “Rent To Own” masih dalam pertimbangan dan belum wajar diperkenalkan sekarang.

“Jika ada keperluan kita boleh mengkajinya semula,” katanya.

 

Fokus ESG pada Akses Kediaman Penjawat Awam

 

Mohd Farid berkata pembiayaan hijau atau projek bandar baharu belum menjadi keutamaan kerana LPPSA sedang memberi tumpuan kepada elemen sosial dalam perkara alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) iaitu memastikan penjawat awam mampu memiliki rumah dengan pembiayaan berkadar faedah empat peratus.

Beliau berkata kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan pemaju ke arah pembangunan lebih lestari sedang diteliti termasuk potensi insentif pada masa hadapan.

Beliau turut berkongsi bahawa sejak menerajui LPPSA pada 2020, antara pembaharuan terbesar adalah pendigitalan saluran komunikasi melalui e-KAUNTER yang membolehkan urusan dilakukan secara maya.

Selain e-KAUNTER, LPPSA juga mempunyai pelbagai saluran komunikasi digital seperti WhatsApp, MyfinancingApp, JAccess, Lia Chatbot, IVR Self Service, Live Chat dan juga etiket.

“Sebelum ini ada yang datang dari Sabah, Sarawak atau Johor semata-mata untuk mengambil geran atau semak status. Menerusi e-KAUNTER mereka boleh bercakap terus dengan pegawai menerusi panggilan video,” katanya.

Penggunaan saluran digital meningkat kepada 68.8 peratus berbanding lima saluran komunikasi pada 2020.

Mohd Farid berkata LPPSA ialah sebuah organisasi yang matlamatnya memberi kemudahan kepada penjawat awam dan komitmen utama adalah memastikan kemudahan pembiayaan perumahan kekal relevan, kukuh dan boleh dipercayai.

“Kami akan terus melakukan penambahbaikan. Dulu penjawat awam dapat banyak manfaat. Hari ini keadaan berbeza namun, rumah tetap keperluan asas, maka kita akan pastikan kemudahan ini tidak lupus dan kekal kukuh untuk generasi yang akan datang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan