EKONOMI > BERITA

SASAR JIMAT KOS PEMATUHAN 1.0 PERATUS DARIPADA KDNK SELARAS STANDARD ANTARABANGSA - MPC

07/12/2025 11:02 AM

Oleh Nurul Hanis Izmir

PUTRAJAYA, 7 Dis (Bernama) -- Malaysia menyasarkan pengurangan kos pematuhan sehingga satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selaras piawaian antarabangsa termasuk OECD, sebagai sebahagian agenda reformasi perkhidmatan awam dan pemodenan penyampaian kerajaan, kata Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Datuk Zahid Ismail.

OECD merujuk kepada Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi iaitu pertubuhan antarabangsa yang terdiri daripada 38 negara, kebanyakannya ekonomi maju, yang bekerjasama bagi menggalakkan dasar ekonomi, sosial dan tadbir urus yang lebih baik.

Beliau berkata berdasarkan Akta Iltizam Kecekapan Kerajaan, pihak kerajaan meletakkan sasaran minimum penambahbaikan sebanyak 25 peratus bagi setiap inisiatif, khususnya dalam mengurangkan kos pematuhan yang dianggap sebagai pembaziran dalam ekonomi kerana membabitkan kos dan masa, yang sepatutnya dielakkan.

“Berlandaskan Akta Iltizam kita menyasarkan setiap penambahbaikan minimum 25 peratus. Itu komitmen kerajaan. Jika ikut standard antarabangsa, khususnya OECD, secara atas sehingga ke bawah kita menganggap kos pematuhan menyumbang satu peratus kepada KDNK.

“Jadi, kalau KDNK kita RM1 trilion, satu peratus sudah RM100 bilion dan daripada RM100 bilion itu, kita ambil lagi 25 peratus untuk disasarkan sebagai penjimatan. Potensinya sangat besar,” katanya kepada Bernama di luar Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 di sini, Sabtu.

Mengulas kos penjimatan lebih RM2 bilion setakat ini melalui Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), Zahid berkata pencapaian besar itu adalah selari dengan pola pertumbuhan negara yang kini berada dalam fasa awal reformasi, dengan potensi penambahbaikan masih luas.

Beliau turut memberikan contoh kejayaan di Kulim, Kedah, yang menyaksikan lonjakan pelaburan ketara selepas kerajaan mempercepat dan mempermudah proses peraturan serta kelulusan.

“Sebelum ini dalam tempoh 25 tahun, pelaburan kumulatif lebih kurang RM50 bilion. Bagaimanapun, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini sahaja, pelaburan meningkat tiga kali ganda kepada RM150 bilion. Itu kerana proses dipercepat, kerajaan lebih efisien, dan ekosistem perniagaan diperkasakan,” katanya.

Zahid juga berkata kecekapan kerajaan adalah faktor penting dalam pertumbuhan ekonomi kerana mempengaruhi pelaburan, keupayaan bersaing dan persepsi terhadap ekosistem perniagaan negara.

“Dalam ekonomi, pelaburan adalah antara komponen KDNK. Apabila proses cepat, pelaburan masuk lebih besar,” katanya.

Beliau berkata MPC kini menumpukan usaha mengurangkan kos pematuhan bagi meningkatkan permudahan dalam menjalankan perniagaan, termasuk memastikan kos pematuhan di Malaysia lebih kompetitif berbanding negara serantau.

Ditanya mengenai tahap kepuasan selepas dua tahun pelaksanaan RKB, Zahid berkata pihaknya sangat berpuas hati tetapi mengakui ruang penambahbaikan masih luas.

“RKB menunjukkan perkembangan yang baik namun, masih banyak ruang untuk penambahbaikan. Antaranya, kita mahu memperluas suara rakyat dan suara pelanggan. Jangan buat penambahbaikan bersifat syok sendiri,” katanya.

Beliau berkata MPC juga sedang mengoptimumkan penggunaan teknologi sebagai penyelesaian utama bagi cadangan yang diterima daripada industri dan masyarakat.

“Kadang-kadang kita sudah menerima suara industri, tetapi untuk mencari penyelesaian sekarang tidak ada pilihan...mesti menggunakan teknologi. Kita perlu mengenal pasti aplikasi yang sesuai dengan penyelesaian yang diperlukan,” katanya.

Sebanyak 323 projek RKB dilaporkan telah disiapkan dengan peningkatan sebanyak 182 projek sebelum ini dan berjaya menjimatkan kos pematuhan lebih RM2.01 bilion setahun.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar melancarkan Pekeliling Iltizam dan Indeks Prestasi Perkhidmatan Awam (I-PPA) yang akan menjadi pemangkin utama dalam mengukuhkan tadbir urus berasaskan prestasi di seluruh sistem penyampaian kerajaan.

Program Rancakkan MADANI ialah kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI yang menjadi tradisi pelaporan tahunan kerajaan secara langsung kepada rakyat.

Serentak dengan program itu, turut berlangsung Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 yang menghimpunkan pemikir dasar dalam kalangan penjawat awam serta pemain industri.

Program berskala nasional anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu telah berjaya menarik 304,107 pengunjung setakat dua hari penganjuran program, melebihi sasaran 300,000 pengunjung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan