KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Permodalan Nasional Bhd (PNB) bersama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) lain komited untuk menerajui inisiatif 10 Juara bumiputera yang bermatlamat mewujudkan 10 syarikat dengan masing-masing mempunyai modal pasaran atau nilai perusahaan sekurang-kurangnya RM500 juta menjelang 2030.
Timbalan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Rick Ramli berkata inisiatif yang bertujuan memacu pertumbuhan mampan dan memperkasa komuniti bumiputera, adalah di bawah Program Pengaktifan dan Reformasi Entiti Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) dan sebahagian daripada agenda Ekonomi MADANI.
“GLIC sedang dalam proses menilai dan menyenarai pendek syarikat terbabit bagi tujuan pengaktifan fasa sokongan.
“Hampir 170 syarikat telah melalui saringan awal manakala sebanyak 30 hingga 40 syarikat yang sedang diteliti untuk melepasi saringan, akan disenarai pendek kepada 10 syarikat pada suku pertama 2026,” katanya dalam temu bual bersama media, baru-baru ini.
Enam GLIC yang terbabit adalah PNB, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Bhd, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Menjelaskan selanjutnya, Rick berkata inisiatif itu juga bagi menyahut cabaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar GLICs and GLCs memperkasa pembangunan ekonomi Bumiputera di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) untuk melahirkan lima hingga 10 syarikat bumiputera yang berjaya.
Di bawah inisiatif itu, PNB dan GLIC lain akan memperkasa pertumbuhan syarikat bumiputera dengan mengenal pasti syarikat yang mempunyai asas kukuh dan berpotensi serta menyokong mereka untuk mencapai tahap baharu.
Sokongan itu merangkumi pembangunan kapasiti, memudahkan akses pasaran melalui rangkaian luas GLIC, memberi panduan strategik untuk mempercepat pengembangan dan membangunkan Pelan Penciptaan Nilai dengan pihak pengurusan bagi merangka strategi pertumbuhan yang disesuaikan untuk meningkatkan nilai jangka panjang.
“Syarikat bumiputera masih menerima cabaran untuk berkembang, membina kapasiti, akses pasaran, pembiayaan dan sebagainya. Ini mengehadkan keupayaan syarikat berkenaan untuk mengakses pasaran modal dan berikutan itu, tidak banyak syarikat bumiputera baharu yang tersenarai di Bursa Malaysia,” katanya.
Sebanyak RM40 juta telah diluluskan dalam Belanjawan 2026 untuk mempercepatkan proses peningkatan skala syarikat bumiputera berpotensi tinggi.
Rick berkata sasaran nilai perusahaan yang ditetapkan adalah sebanyak RM500 juta yang menjadi syarat (modal pasaran) untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
“Pada akhir tempoh lima tahun nanti, jika inisiatif ini berjaya, syarikat-syarikat berkenaan berada pada tahap skala yang sesuai dan akan mempunyai keupayaan untuk mengakses pasaran modal dan berpotensi untuk disenaraikan melalui tawaran awam permulaan (IPO), namun keputusan untuk menyenaraikan Syarikat di Bursa tetap bergantung kepada pihak pengurusan syarikat tersebut.
“Langkah penyenaraian membolehkan syarikat ini menarik pelaburan baharu daripada kalangan pemegang saham serta orang ramai,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial