EKONOMI > BERITA

MALAYSIA PERGIAT USAHA TEMBUS PASARAN BAHARU, TINGKAT PERDAGANGAN - PM ANWAR

07/12/2025 02:03 PM

PUTRAJAYA, 7 Dis (Bernama) -- Malaysia akan terus mempergiat usaha menembusi pasaran baharu untuk meningkatkan perdagangan, sekali gus memperkukuh kedudukan sebagai negara dagang yang berdaya saing.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam konteks hubungan antarabangsa, negara perlu menembusi pasaran seperti di Eropah, Amerika Latin dan Afrika untuk melonjakkan perdagangan. 

“Saya ingin tegaskan, jangan pandang enteng soal ini (usaha perdagangan). Kita tidak boleh berjaya sebagai negara dagang kalau kita hanya menumpukan kepada rakan-rakan strategik sedia ada,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku di sini, hari ini.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta barisan Jemaah Menteri.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Anwar berkata hubungan perdagangan sedia ada dengan Amerika Syarikat (AS) dan China yang  mencatatkan nilai perdagangan yang tinggi jumlahnya, akan diteruskan seperti sedia ada.

“Itu tidak bermasalah dan (hubungan dengan China dan AS) kita teruskan tetapi kalau mahu Malaysia (terus menjadi) sebagai negara yang punya ekonomi yang kukuh dan negara dagang, kita mesti dan wajib menembusi pasaran baharu.

“(Malaysia juga akan) meningkatkan perdagangan inter-ASEAN, dalam kalangan negara ASEAN, dan menembusi pasaran di Amerika Latin dan Afrika yang punya potensi,” katanya.

Sementara itu, beliau menyeru kerjasama Jemaah Menteri dan barisan penjawat awam dalam melaksanakan segala usaha untuk mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara hebat.

Anwar berkata prestasi baik dipamerkan negara seperti pertumbuhan ekonomi dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.2 peratus bagi suku ketiga 2025 serta prestasi ringgit yang tertinggi di Asia antara bukti negara kini berada pada tahap lebih baik.

“Saya yakin insya-Allah, kalau kita teruskan dengan prestasi ini Malaysia akan meningkat maju sebagai negara hebat di Asia,” katanya.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada barisan Jemaah Menteri dan semua pihak yang menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan