GEORGE TOWN, 8 Dis (Bernama) -- Batik Air hari ini memperluas rangkaiannya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang menerusi pelancaran laluan baharu ke Singapura dan Kualanamu, Medan, sekali gus memperteguh peranan Pulau Pinang sebagai laluan masuk utara dan mengukuhkan kesalinghubungan serantau.
Menurut Batik Air dalam kenyataan hari ini, Singapura kekal sebagai sumber terbesar pelawat antarabangsa ke Malaysia, dengan merekodkan 14.0 juta ketibaan bermula Januari hingga Ogos tahun ini, meningkat 18.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
“Penambahan laluan Pulau Pinang-Singapura memenuhi permintaan yang tinggi bagi perjalanan masa senggang jarak dekat, percutian hujung minggu dan perjalanan untuk perniagaan, menawarkan warga Singapura akses mudah kepada warisan budaya, destinasi makanan ikonik dan tarikan pelancongan yang mengujakan di Pulau Pinang.
“Penerbangan Pulau Pinang-Medan pula bertujuan memenuhi peningkatan permintaan dalam pelancongan perubatan dan kesejahteraan dari Indonesia, menyediakan laluan mudah kepada pelancong Indonesia terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan di pulau ini.
“Selain itu, ia membuka peluang kepada perjalanan masa senggang di seluruh koridor utara Malaysia,” menurut syarikat penerbangan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Datuk Chandran Rama Muthy dalam kenyataan sama berkata Pulau Pinang telah menjadi pangkalan strategik bagi syarikat penerbangan itu di utara Malaysia sejak sekian lama.
“Di samping perkhidmatan sedia ada kami ke Kuala Lumpur (KLIA dan SZB) dan Jakarta (CGK), laluan baharu ke Singapura dan Medan mengukuhkan peranan bandar ini sebagai hab utara, memberikan pelancong akses terus ke pasaran serantau utama.
“Pengembangan ini adalah sebahagian daripada visi meluas kami untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pintu masuk yang menyokong pelancongan, perniagaan dan pelancongan perubatan sambil membangunkan rangkaian yang bersedia untuk masa depan dengan jangkaan keperluan pelancong yang sentiasa berubah,” katanya.
Chandran berkata memandangkan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) semakin hampir, laluan ini akan mendorong ketibaan lebih ramai pengunjung ke rantau ini dan mempamerkan segala aspek yang ditawarkan oleh Pulau Pinang dan utara Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai berkata pengembangan berterusan Batik Air mencerminkan keyakinan yang meningkat kepada negeri itu sebagai laluan masuk utama ke utara Malaysia.
Pelancaran laluan baharu ke Singapura dan Medan memperteguh peranan Pulau Pinang sebagai hab strategik untuk pelancongan, perjalanan untuk perniagaan dan pelancongan perubatan, katanya.
Menurutnya laluan berkenaan akan meningkatkan kesalinghubungan serantau dan menyokong industri tempatan dengan membuka lebih banyak laluan kepada pelawat antarabangsa.
“Ketika kita membuat persediaan untuk TMM2026 dan Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026, Pulau Pinang komited untuk bekerjasama dengan rakan kongsi syarikat penerbangan untuk mewujudkan pengalaman perjalanan yang lancar dan meningkatkan ekosistem pelancongan kita.
“Kami mengalu-alukan komitmen Batik Air dan berharap dapat membangunkan masa depan yang bertenaga dan terhubung dengan baik untuk Pulau Pinang dan rantau ini,” katanya.
Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia Samuel Lee Thai Hung turut mengalu-alukan inisiatif itu, sambil memaklumkan bahawa laluan terus baharu itu akan meningkatkan kebolehlihatan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dengan menjadikan Pulau Pinang lebih mudah diakses oleh pelawat antarabangsa.
“Laluan ini dijangka menyumbang dengan ketara kepada sasaran TMM2026 sebanyak 47 juta pelawat antarabangsa.
“Daya tarikan unik Pulau Pinang, daripada warisan kolonial dan tradisional yang terpelihara sehingga landskap semula jadi dan taman kembara, menawarkan pengalaman perjalanan yang berharga kepada pelawat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata pelancaran dua laluan itu menunjukkan langkah penting bagi Pulau Pinang dan pelancong yang mahukan akses lebih mudah ke seluruh rantau.
Hubungan yang lebih kukuh dengan Singapura dan Indonesia menjadikan pintu masuk utara lebih dekat dengan dunia, membuka peluang baharu dalam pelancongan, perniagaan dan pelancongan perubatan, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial