Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Sektor teknologi Malaysia terus mengekalkan momentum kukuh pada 2025, dipacu oleh kemajuan pesat dalam bidang kecerdasan buatan (AI) serta ledakan pelaburan pusat data, di tengah persaingan strategik yang semakin sengit antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
Tahun ini, Malaysia kekal sebagai destinasi alternatif menarik bagi pelabur teknologi multinasional, dengan Pulau Pinang dan Johor muncul sebagai hab teknologi utama negara.
Pulau Pinang, yang digelar “Lembah Silikon Malaysia”, terus menarik minat pengeluar semikonduktor dan elektronik bernilai tinggi, disokong oleh rantaian bekalan yang mantap dan bakat serta tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi.
Sementara itu, Johor pula mengukuhkan kedudukannya sebagai kluster pusat data yang berkembang pesat serta lanjutan strategik infrastruktur digital Singapura, menarik pelaburan berbilion ringgit dalam bidang awan, AI, dan infrastruktur berskala besar.
Insentif kerajaan, kerjasama awam-swasta, dan keyakinan yang meningkat dalam kalangan syarikat teknologi global pada masa sama mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju teknologi di rantau ini.
Pertumbuhan sektor ini turut disokong oleh inisiatif kerajaan di bawah Rangka Kerja Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan peningkatan pelaburan asing dalam pusat data serta pengkomputeran awan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa syarikat menikmati faedah daripada insentif cukai serta sokongan penyelidikan dan pembangunan (R&D), sekali gus mendorong pembangunan bakat tempatan serta kerjasama merentas industri bagi mempercepat kemajuan teknologi dan meningkatkan kecekapan operasi.
Pelaburan Tahun 2025
Dalam separuh pertama 2025, pelaburan yang diluluskan dalam sektor AI mencapai RM13.29 bilion.
Sektor pusat data dan awan menjadi peneraju pelaburan di bawah inisiatif Malaysia Digital, menyumbang RM30.95 bilion kepada jumlah pelaburan digital.
Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Malaysia terus mencatat prestasi teguh pada separuh pertama 2025 dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM190.3 bilion, merangkumi sektor perkhidmatan, pembuatan, dan utama, peningkatan 18.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Dalam separuh pertama 2025, sebanyak RM88.3 bilion atau 46.4 peratus daripada pelaburan yang diluluskan adalah selaras dengan sektor keutamaan Aspirasi Pelaburan Negara (NIA) iaitu teknologi maju, pendigitalan, pertumbuhan hijau, dan keterangkuman.
Sejumlah 143 projek pelaburan pusat data telah diluluskan antara 2021 hingga 30 Jun 2025, termasuk 25 projek berstatus Malaysia Digital di bawah insentif Digital Ecosystem Acceleration Scheme (DESAC), dengan jumlah pelaburan bernilai RM144.4 bilion dan mewujudkan 1,429 peluang pekerjaan baharu.
Selain itu, syarikat teknologi global utama turut mengumumkan pelaburan besar di Malaysia, khususnya dalam pusat data dan infrastruktur AI, termasuk komitmen daripada Microsoft, Google dan Amazon Web Services (AWS).
Pada 29 Julai, YTL Power International dan Nvidia Corporation pula memeterai perjanjian bagi membangunkan infrastruktur AI bernilai US$2.36 bilion (US$1 = RM4.12) di Malaysia, manakala pada 31 Oktober, pusat data AI pertama Malaysia berkuasa Nvidia di Johor mula beroperasi.
Sebelum itu, pada 12 Februari, pakar pusat data berskala tinggi Asia Pasifik dan Jepun, AirTrunk, mengumumkan rancangan untuk membangunkan pusat data kedua yang bersedia untuk AI dan pengkomputeran awan, AirTrunk JHB2, di Iskandar Puteri, Johor.
Sementara itu, kerjasama antara Basis Bay dengan ST Telemedia Global Data Centres disifatkan sebagai model bagaimana kerjasama serantau dapat memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital di Asia Tenggara.
Pasaran Pusat Data Berkembang Pesat Tahun Ini
Tahun 2025 menyaksikan pasaran pusat data di Malaysia berkembang dengan pesat, didorong oleh permintaan pengkomputeran awan dan beban kerja AI yang meningkat.
Setakat ini, Malaysia mempunyai 119 pusat data tersenarai yang terletak di 15 lokasi berbeza di seluruh negara.
Johor, dijangka menjadi hab pusat data berkembang paling pesat di Asia Tenggara, dengan kapasiti yang dianggarkan menyumbang 60 peratus daripada kapasiti nasional menjelang 2030.
Merujuk data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2025, Perdana Menteri memaklumkan bahawa akaun sektor perkhidmatan mencatat lebihan RM0.7 bilion pada suku berkenaan, menjadikannya lebihan pertama dalam 14 tahun.
Beliau menjelaskan bahawa pencapaian itu dipacu oleh strategi Ekonomi MADANI, transformasi digital melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), agenda peralihan tenaga, Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), serta sektor berimpak tinggi seperti pusat data.
Perkembangan pesat pusat data, kata beliau, memberi manfaat kepada ekonomi negara. Meskipun pembinaannya memerlukan import awal yang besar, aset tersebut dijangka menghasilkan eksport perkhidmatan signifikan selepas operasi bermula, seterusnya menyumbang kepada peningkatan keseluruhan sektor perkhidmatan.
“Pendapatan eksport perkhidmatan daripada pembangunan pusat data kini menunjukkan prestasi yang sangat kukuh,” kata Anwar.
Memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem teknologi
Selaku memegang Kepengerusian ASEAN 2025, Malaysia pada tahun ini juga memainkan peranan penting dalam memacu sektor teknologi, termasuk Sidang Kemuncak Kerjasama dan Pembangunan Teknologi ASEAN dan Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN, dengan menumpukan kepada AI, keselamatan siber dan rangka kerja ekonomi digital.
Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) ASEAN, yang bertujuan meningkatkan kerjasama digital dan perdagangan di rantau ini dengan menubuhkan peraturan dalam bidang seperti aliran data, e-pembayaran dan keselamatan siber, telah mencatat kemajuan ketara dalam rundingan, dengan matlamat untuk memuktamadkan dan menandatangani perjanjian itu pada 2026.
Pada masa yang sama, Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-AS yang dimeterai oleh Presiden AS Donald Trump dan Anwar pada 26 Oktober semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat berkaitan, membolehkan lebih 1,700 kategori barangan Malaysia memasuki AS tanpa duti, termasuk sektor elektrik dan elektronik yang penting untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Di bawah ART, Malaysia kini diiktiraf sebagai rakan rantaian bekalan yang dipercayai, yang dijangka memudahkan lagi aliran perdagangan barangan termasuk produk-produk strategik dan berteknologi tinggi.
Selain itu, Malaysia sedang mempergiat usaha untuk menempatkan dirinya sebagai hab global bagi industri semikonduktor, sejajar dengan matlamat strategik kerajaan untuk meningkatkan rantaian nilai ke arah reka bentuk litar bersepadu dan pembuatan maju.
Menurut Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), NSS menekankan komitmen negara untuk memperkukuh peranannya dalam ekosistem teknologi global menerusi pelaburan yang bersasar, pembangunan bakat dan kerjasama erat antara kerajaan, pemain industri dan syarikat pemula niaga tempatan.
Prospek
Menurut Kementerian Digital, 2026 akan menjadi peristiwa penting dalam usaha mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara yang dipacu oleh AI.
Kementerian itu menyatakan aspirasi AI negara tidak hanya tertumpu kepada pembangunan teknologi, sebaliknya melibatkan pembinaan ekosistem komprehensif yang mengintegrasikan dasar, bakat, kepercayaan digital dan pelaburan, sekali gus membolehkan Malaysia menempatkan dirinya sebagai hab AI serantau yang berdaya saing dan berimpak tinggi.
Bagi merealisasikan matlamat ini, kerajaan memperuntukkan RM1.36 bilion kepada kementerian itu di bawah Belanjawan 2026, termasuk RM248.5 juta untuk perbelanjaan mengurus dan RM1.11 bilion untuk projek pembangunan.
Sehubungan itu, kebanyakan penganalisis berpendapat prospek sektor teknologi Malaysia pada 2026 kekal optimistik, dipacu oleh inisiatif kerajaan yang dijangka dapat merangsang industri berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial