KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Forum “Energy Regulatory Insights” 2025 (ERI 2025) berjaya mengatasi sasaran awal 500 peserta apabila mencatatkan 600 orang yang menyertainya, malah sejumlah nama berada dalam senarai menunggu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST) Siti Safinah Salleh.
Beliau berkata susulan sambutan yang amat memberangsangkan bagi ERI 2025 yang mengangkat tema “Shaping a Sustainable Energy Future”, ST berhasrat menjadikan forum itu sebagai acara tahunan.
“Kami berharap dapat menjadikan forum ini sebagai satu acara tahunan. Kali ini adalah percubaan pertama kami menggunakan format ini. Kami sangat gembira dengan sokongan positif yang diberikan, malah telah meraih sambutan hebat,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian ERI 2025 di sini, hari ini.
Forum itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang turut melancarkan Logo Ulang Tahun ke-25 ST, Pelan Strategik ST 2026-2030 dan Pelan Transformasi ST.
Ketika menyampaikan ucapan, Shamsul Azri berkata pelan lima tahun itu berfungsi sebagai pelan hala tuju untuk ST beralih daripada badan kawal selia tradisional kepada sebuah institusi kawal selia yang moden, cekap dan berwibawa, sejajar dengan aspirasi Ekonomi MADANI.
Beliau berkata Pelan Transformasi ST adalah panduan hala tuju komprehensif untuk menjadikan ST sebagai suruhanjaya kawal selia tenaga yang moden, cekap dan berimpak tinggi.
“Pelan ini menumpukan kepada enam tema strategik iaitu tadbir urus, struktur organisasi, pendigitalan, pembangunan keupayaan, penglibatan pihak berkepentingan dan kemampanan kewangan.
“Pelaksanaannya akan dibuat secara berfasa, bermula dengan pembentukan asas yang kukuh dan usaha pantas, disusuli fasa mempercepat pelaksanaan serta menerapkan struktur dan budaya baharu, dan akhirnya menilai hasil bagi penentuan masa depan,” katanya.
Shamsul Azri berkata tindakan utama termasuk membentuk pasukan transformasi khas, menaik taraf sistem digital, melatih kakitangan mempelajari kemahiran baharu, serta melantik “Ejen Perubahan” sebagai perunding dalaman untuk memacu setiap tema.
Transformasi itu akan mengubah peranan ST daripada badan selia tradisional kepada institusi moden, adaptif serta peraturan yang bersifat ekonomi di samping kerjasama strategik pihak berkepentingan, katanya.
ERI 2025 yang berlangsung hari ini berfungsi sebagai platform yang menghimpunkan kalangan pihak berkepentingan dari arena tempatan dan antarabangsa untuk membincangkan cabaran semasa dalam peralihan tenaga, mengenal pasti peluang baharu serta memperkukuh kesiapsiagaan dari segi pengawalseliaan, teknologi dan kewangan.
Forum itu mengetengahkan dua sesi wacana, satu sesi dialog dan satu segmen bicara pemimpin bertajuk ‘Tenaga dalam Konteks Ekonomi, Kewangan dan Masyarakat’.
ERI 2025 menampilkan antaranya Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong; Profesor Adjung Universiti Taylor’s, Dr. Ong Kian Ming; dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia Bhd, Datuk Omar Siddiq Amin Noer Rashid sebagai ahli panel.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial