Daripada Kisho Kumari Sucedaram
GENEVA, 9 Dis (Bernama) -- Pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF) jauh di bawah sasaran global sekali gus memaksa syarikat penerbangan untuk mempertimbangkan semula sasaran hijau 2030 masing-masing, kata Ketua Pengarah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Willie Walsh.
Bercakap pada IATA Global Media Day di Geneva, Walsh berkata kemajuan industri pada 2025 lebih perlahan daripada yang dijangkakan dengan beberapa perkembangan yang membimbangkan dijangka berterusan sehingga 2026.
"Kami tidak melihat SAF dihasilkan dalam jumlah yang kami harapkan dan jangkakan. Itu mengecewakan dan memandang ke hadapan iaitu ke tahun depan, kami jelas bimbang tentang kemajuan yang akan dicapai pada 2026," katanya.
Walsh mengulangi apabila syarikat penerbangan komited untuk mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050, mereka tahu ia akan menjadi sangat mencabar dan mahal. Namun, jurang antara cita-cita dan realiti semakin melebar daripada yang disasarkan.
"Permintaan terhadap SAF terus kukuh tetapi kita tidak melihat peningkatan yang sepadan dalam pembangunannya dan pengawalseliaan persekitaran terutamanya di Eropah tidak membantu," katanya.
Walsh menegaskan mandat SAF Kesatuan Eropah gagal untuk merangsang pengeluaran sebaliknya menyebabkan harga meningkat dengan mendadak apabila pembekal bahan api berusaha untuk mematuhi kewajipan pengawalseliaan.
"Kami tidak melihat mandat ini membawa kepada pengeluaran SAF yang lebih besar, tetapi kami melihat ia menyebabkan peningkatan harga yang sangat tinggi," katanya.
Beliau berkata banyak syarikat penerbangan yang berjanji untuk menggunakan SAF pada kadar tinggi menjelang 2030 termasuk komitmen sehingga 10 peratus, namun, kemungkinan besar tidak akan dapat mencapai sasaran tersebut akibat kekurangan bekalan.
"Secara peribadi, saya percaya angka-angka itu kini mustahil untuk dicapai. Ia akan menjadi cabaran besar bagi industri untuk mencapai sasaran manakala enam peratus seperti yang dibayangkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO)," kata Walsh.
Beliau menekankan kekurangan ini bukan disebabkan oleh kekurangan keinginan atau kapasiti kewangan dalam kalangan syarikat penerbangan.
"Ini bukan kesalahan mereka. Syarikat penerbangan ini membuat komitmen dengan niat baik. Mereka mengharapkan untuk memperoleh SAF dalam jumlah yang jauh lebih besar daripada yang boleh diperoleh hari ini. Ia bukan isu harga. Ia merupakan isu ketersediaan," katanya.
Walsh menjangkakan lebih banyak syarikat penerbangan akan mengkaji semula atau mengecilkan sasaran SAF masing-masing pada 2026 terutamanya yang dikehendaki melaporkan metrik bukan kewangan dan berkaitan dengan iklim.
Beliau berkata Air New Zealand telah pun mengambil langkah pertama dalam menilai semula cita-cita SAF mereka di tengah-tengah kekangan bekalan dan kelewatan penghantaran pesawat yang disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan global.
"Sewaktu mereka menilai semula kemajuan, mereka membuat kesimpulan iaitu mustahil untuk memenuhi komitmen yang sudah dibuat.
"Saya menjangkakan kita akan melihat banyak syarikat penerbangan melakukan perkara yang sama apabila melangkah ke 2026," katanya.
Walsh turut mengkritik pembekal bahan api dan pengawal selia kerana gagal menyokong pembangunan pasaran.
Beliau berkata, lonjakan harga yang dilabelkan sebagai 'yuran pematuhan' sedang memberi tekanan kepada syarikat penerbangan tanpa ketersediaan SAF.
Beliau berkata industri mesti 'menyorot perhatian' kepada mereka yang bertanggungjawab.
"Orang yang dipersalahkan merupakan pengawal selia kerana memperkenalkan mandat yang mendorong kepada perbuatan ini dan pembekal bahan api yang secara jujurnya sedang menaikkan harga dengan melampau dan menipu kami kerana mereka boleh melakukannya," tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial