KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan garis panduan yang jelas melalui Dokumen Dasar Layanan Adil kepada Pengguna Kewangan (FTFC) bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh institusi kewangan, menurut Kementerian Kewangan (MoF).
Menerusi jawapan bertulis, kementerian itu berkata kerajaan memandang serius isu berkaitan amalan pihak penyedia perkhidmatan kewangan (PPK), termasuk bank-bank komersial untuk memastikan layanan yang adil dan telus kepada pengguna kewangan
“Dokumen dasar itu menetapkan keperluan dan panduan untuk PPK melayan pengguna kewangan secara adil dengan mengamalkan tingkah laku yang bertanggungjawab dan profesional,” katanya.
Kementerian itu menjawab soalan Senator Datuk C. Sivaraj yang ingin tahu sama ada bank-bank komersial dibenarkan menutup atau menamatkan akaun syarikat yang tidak terlibat dengan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).
Berhubung penutupan akaun individu atau syarikat, MoF berkata bank-bank komersial berhak untuk menamatkan hubungan perbankan dengan pelanggan berdasarkan terma dan syarat perjanjian akaun.
Bagaimanapun, tindakan ini mesti mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh BNM, berdasarkan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA), Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (DFIA).
"Secara amnya, dalam proses pengendalian akaun bank yang ditutup, institusi kewangan disarankan untuk mengeluarkan notis bertulis kepada pemegang akaun yang terjejas dalam tempoh yang munasabah.
"Notis ini disertakan dengan sebab penutupan akaun, contohnya pelanggaran terma dan syarat perjanjian akaun tanpa mendedahkan maklumat sensitif siasatan," tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial