SPRM TUMPU PERANGI RASUAH, SALAH GUNA KUASA DALAM SEKTOR PEMBINAAN - AZAM BAKI

26/09/2024 12:54 PM

BANGI, 26 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini memberi tumpuan dalam memerangi isu rasuah, kelemahan tatakelola dan salah guna kuasa dalam sektor pembinaan di negara ini. 

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata sektor berkenaan amat terdedah kepada rasuah antaranya melibatkan projek pembinaan jalan dan bangunan serta kenaikan harga kos dalam kontrak kerajaan.

Beliau berkata tumpuan khusus SPRM dalam sektor pembinaan ketika ini membabitkan kontrak-kontrak kerajaan dengan syarikat pembinaan pada peringkat negeri dan Persekutuan.

“Ya, memang sektor pembinaan satu daripada sektor di bawah pemerhatian kami dan kami tumpukan kontrak-kontrak yang melibatkan kerajaan sahaja.

“Berhubung dengan perkara ini (sektor pembinaan), kita lihat memang banyak berlaku ketirisan,” katanya kepada pemberita pada Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti Dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-3 Tahun 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan memandang serius isu berkaitan rasuah, kelemahan tatakelola serta salah guna kuasa membabitkan sektor pembinaan.

Azam berkata mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) telah bersetuju dengan cadangan menggalakkan semua syarikat gred G7 untuk mendapatkan pensijilan MS ISO 37001 AntiBribery Management System (ABMS).

“Hal ini menunjukkan kesungguhan pihak syarikat dalam sektor pembinaan supaya mempunyai pemahaman tentang pembanterasan rasuah,” katanya.

Azam berkata sekiranya MS ISO 37001 ABMS tidak diperoleh, syarikat berkenaan berkemungkinan tidak boleh menyertai tender di bawah Kementerian Kewangan.

Pada 9 Sept lepas, mesyuarat JKKTN dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan cadangan untuk menggalakkan semua syarikat gred G7 yang mempunyai Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) untuk mendapatkan pensijilan MS ISO 37001 ABMS. 

Selain itu, syarikat berkenaan juga akan diberi keutamaan dalam perolehan kerajaan bagi perolehan kerja bernilai RM100 juta ke atas bagi tempoh dua tahun pertama.

Inisiatif berkenaan menyokong prinsip liabiliti korporat di bawah Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, Azam dalam ucapannya berkata sebanyak US$5 trilion setahun nilai ketirisan dijangka disumbangkan oleh sektor pembinaan menjelang 2030 sekiranya tiada langkah berkesan diambil bagi menangani rasuah dalam sektor itu.

Beliau berkata perkara itu dilaporkan oleh Royal Institution of Chartered Surveyors (RICS), sebuah badan profesional dunia yang menetapkan piawaian dan kualiti bagi hartanah, infrastruktur dan pembinaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan