LEBIH 14,000 DITAHAN ATAS PELBAGAI KESALAHAN DADAH DI PERAK SEJAK JANUARI

26/09/2024 01:25 PM

IPOH, 26 Sept (Bernama) -- Polis menahan 14,234 individu atas pelbagai kesalahan dadah di negeri ini sejak Januari hingga bulan lepas.

Timbalan Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat berkata daripada jumlah itu, sebanyak 7,989 individu ditahan kerana kesalahan urin; 4,386 individu (memiliki dadah); 1,771 individu (mengedar dadah) dan 88 individu di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

Beliau berkata dalam tempoh sama, pihaknya turut merampas pelbagai dadah berjumlah RM5.9 juta dengan syabu, heroin dan ketamin mencatatkan rampasan tertinggi.

"Kebanyakan individu ditahan merupakan dalang, perancang serta pembiaya sindiket yang telah ditumpaskan pada tahun ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Zulkafli berkata harta pengedar dadah yang disita pula dianggar bernilai RM7.1 juta termasuk rumah, tanah, barang kemas dan kenderaan yang dikenakan tindakan di bawah Akta Perlucuthakan Harta 1988.

Zulkafli berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak juga telah melupuskan pelbagai barang kes dadah bernilai RM545,676 yang telah selesai perbicaraan di mahkamah.

Beliau berkata ia membabitkan 4,313 kertas siasatan yang dibuka sejak 2000 hingga tahun lepas. 

“Dadah berkenaan ialah heroin, ganja, syabu, ketamin, ekstasi serta ketum yang kesemuanya dilupuskan di tapak pelupusan di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan dan Papan, Ipoh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan