GISBH: MAHKAMAH BENAR BON JAMINAN TERHADAP PENGETUA, TIMBALAN PENGETUA MADRASAH

26/09/2024 04:23 PM

SEREMBAN, 26 Sept (Bernama) -- Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini membenarkan permohonan bon jaminan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) terhadap pengetua dan timbalan pengetua sebuah madrasah di Rembau dipercayai mempunyai kaitan dengan syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Hakim Syarie Yuhanis Yusop membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan Penolong Pengarah (Kanan) Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS Ahmad Zaki Hamzah terhadap kedua-dua orang yang disyaki (OYDS), masing-masing berumur 46 dan 54 tahun, bagi melengkapkan siasatan.

Beliau menetapkan bon jaminan RM1,500 dengan seorang penjamin bagi OYDS iaitu pengetua madrasah untuk disiasat mengikut Seksyen 22 Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Islam (Negeri Sembilan) 1996.

Timbalan pengetua pula dikenakan bon jaminan sebanyak RM3,500 bagi siasatan di bawah Seksyen 22 Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Islam (Negeri Sembilan) 1996, Seksyen 52 dan 53 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 (Pindaan 2019).

OYDS juga dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah, selain perlu melaporkan diri pada setiap bulan kepada Ketua Penguatkuasa Agama Rembau, selain tidak dibenarkan mengganggu saksi kes manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Nov ini.

Sementara itu, Pengarah JHEAINS Mohd Asri Abdullah dalam kenyataan memaklumkan kedua-dua OYDS ditahan semasa Op Global dilakukan oleh pihak polis dan Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS di madrasah di Kampung Senama Hilir, Rembau pada 21 Sept.

Beliau berkata JHEAINS telah membuat penahanan semula terhadap kedua-dua OYDS di Ibu Pejabat Polis (IPD) Rembau semalam.

"Penahanan suspek ini untuk siasatan lanjut berkaitan pengoperasian sekolah agama tanpa kebenaran," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Asri berkata ketika soal siasat dijalankan, kedua-dua OYDS didapati cuba menghidupkan semula ajaran Aurad Muhammadiah yang difatwakan sesat oleh Jabatan Mufti negeri ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan