LAPAN TONG DIPERCAYAI BAHAN KIMIA DITEMUI DALAM PARIT DI SUNGAI BULOH

26/09/2024 04:09 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Lapan tong sisa buangan jenis cecair dipercayai bahan kimia ditemui di dalam parit berhampiran kawasan perkilangan di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh, di sini dua hari lepas.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 9.02 malam, Selasa lepas sebelum menemui tong berkenaan di dalam parit sedalam 0.3 meter. 

Beliau berkata Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) ketika ini masih dalam proses mengalihkan tong tersebut dan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil sampel.

Mukhlis berkata operasi tersebut turut melibatkan bantuan daripada JAS, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis.

Sementara itu, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin berkata siasatan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengesahkan terdapat lapan tong tanpa label ditemui dalam parit terbabit selain mengesan bau kuat seakan bahan kimia di lokasi tersebut.

"Pemerhatian lanjut LUAS mendapati alur parit memasuki Sungai Gasi seterusnya ke Sungai Buloh. Tiada muka sauk loji rawatan air (LRA) berada di hilir aliran itu," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata MPS sudah memasang pita keselamatan di lokasi untuk tindakan siasatan lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan