POLIS BERI AMARAN KERAS TERHADAP PIHAK CEMARKAN SUNGAI DI JOHOR

26/09/2024 04:58 PM

JOHOR BAHRU, 26 Sept (Bernama) -- Polis Johor memberi amaran keras bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan pencemaran sungai di Johor. 

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata ini susulan kes pencemaran sungai yang berlaku baru-baru ini, terutamanya melibatkan pembuangan sisa kilang di Lombong Kampung Orang Asli Pasir Intan, Bandar Tenggara, Kota Tinggi pada 4 September lepas.

“Ini adalah mesej kepada semua bahawa pihak Polis Diraja Malaysia akan mengambil tindakan tegas dan si pelaku jenayah terhadap elemen pencemaran sungai akan berdepan dengan tindakan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Perbuatan di lombong itu telah mengakibatkan kawasan sungai dan loji berdekatan mengalami pencemaran selain menyebabkan 38 penduduk setempat mengalami gejala pedih mata, muntah, cirit-birit dan lain-lain, katanya.

Sementara itu, Kumar berkata polis masih menjalankan siasatan kejadian pencemaran di Johor Bahru dan mengesahkan kejadian berkenaan tidak berkait dengan kejadian di Kota Tinggi.

Terdahulu, lima individu didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini kerana menyebabkan mudarat terhadap pemeliharaan perkhidmatan utama iaitu perkhidmatan air di Bandar Tenggara pada 4 September lepas.

Dua daripada tertuduh iaitu Tan Eng Yong, 41, warga Singapura dan Lau Kam Wai, 53, warga tempatan didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang dibaca bersama dengan seksyen 124K Kanun yang sama.

Manakala tiga lagi tertuduh, R Navaraj, 23, K Prasanth, 28, dan K Jaya Kumar, 52, didakwa di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan