POLIS SELAMATKAN MANGSA CULIK PENJENAYAH MAUT DITEMBAK

26/09/2024 06:13 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki warga asing diselamatkan polis selepas dipercayai menjadi mangsa culik kepada penjenayah yang mati ditembak dalam kejadian di Kampung Baru Kundang, Rawang, Selangor, semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata lelaki warga Indonesia berusia 45 tahun itu dipercayai diculik di kawasan Salak South, Cheras dan ditemukan selamat ketika operasi mengesan penjenayah terbabit.

“Mangsa sudah membuat laporan semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian kira-kira 1.15 pagi semalam sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menjalankan operasi mengesan suspek yang mempunyai 26 rekod jenayah dan dadah yang disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah serta kedai.

Suspek berusia 37 tahun itu yang ditembak mati selepas dilaporkan mengancam nyawa anggota polis, dipercayai terbabit menculik mangsa bersama dua lagi rakannya yang masih bebas.

Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian turut menemukan tiga parang, kapak, pemotong besi dan kuku kambing yang disyaki digunakan untuk kegiatan jenayah.

Hussein berkata pihaknya sedang memburu dua lagi rakan suspek yang disyaki bersekongkol dalam kes pecah rumah dan kedai di Damansara, Petaling Jaya bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan