WARGA EMAS RUGI LEBIH RM200,000 DITIPU TAWARAN KERJA DALAM TALIAN

27/09/2024 11:39 AM

KUALA TERENGGANU, 27 Sept (Bernama) -- Seorang warga emas kerugian RM291,200 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa seorang wanita yang berusia 71 tahun telah berkomunikasi dengan rakannya yang hanya dikenali di laman sosial Facebook pada 22 Ogos lepas.

Beliau berkata mangsa yang juga seorang peniaga dari Kuala Terengganu telah ditawarkan membuat kerja sambilan dengan menjual barangan secara dalam talian dan dijanjikan komisen sebanyak 15 peratus.

"Pengadu perlu mengeluarkan modal bagi barangan yang hendak dijual terlebih dahulu. Suspek berjanji mangsa akan diberikan semula wang modal dan komisen sebanyak 15 peratus daripada modal yang dikeluarkan dalam tempoh sebulan.

"Mangsa yang berminat untuk menambah pendapatan telah membuat 14 kali bayaran menggunakan wang simpanannya ke beberapa akaun di bank berlainan seperti yang diarahkan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Azli berkata mangsa mula curiga apabila suspek mengarahkan dia membuat bayaran lain sedangkan wang komisen yang dijanjikan belum diterima.

"Mangsa membuat laporan polis semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan pelbagai taktik penipuan pada masa sekarang," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan