SERANGAN GAJAH DI MERSING: PERHILITAN LAKSANA KAWALAN, PEMANTAUAN BERTERUSAN

27/09/2024 04:19 PM

JOHOR BAHRU, 27 Sept (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor akan melaksanakan kawalan dan pemantauan berterusan di kawasan Felda Tenggaroh 5 di sini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon.

Ling berkata ini susulan serangan gajah liar di kawasaan itu yang meragut nyawa seorang pekerja pembersihan kontrak dan seorang lagi cedera parah semalam dan operasi menangkap haiwan itu dimulakan serta-merta bagi memastikan keselamatan penduduk setempat . 

Beliau berkata menurut laporan awal kejadian itu berlaku pada kira-kira 11 pagi dan pasukan Perhilitan daerah Mersing telah bertindak segera dengan tiba di lokasi satu jam kemudian. 

“Bagaimanapun, hasil pemantauan awal menggunakan dron mendapati seekor gajah jantan telah meninggalkan kawasan kejadian.

“Justeru, saya menggesa orang ramai untuk tidak mendekati dan sentiasa berhati-hati serta segera melaporkan kepada pihak berkuasa sebarang aktiviti hidupan liar yang membahayakan dan memberi ancaman...keselamatan komuniti dan hidupan liar keutamaan bersama,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini. 

Ling berkata kedua-dua mangsa, Mohamad Syafik Yakob, 31, yang meninggal dunia dan rakannya, Zalini Dahlan, 51, cedera parah difahamkan telah memasuki kawasan hutan belukar di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Tenggaroh 5 bagi menghalau haiwan liar tersebut daripada mendekati kawasan sekolah. 

“Mereka (dikatakan) mendekati gajah tersebut sebelum insiden itu (diserang) berlaku. Kedua-dua mereka kemudiannya telah dibantu oleh beberapa individu berhampiran dan dibawa ke klinik bagi mendapatkan rawatan.

“...pada masa sama, saya ingin menyampaikan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa,” katanya. 

Semalam, media melaporkan seorang pekerja pembersihan kontrak maut manakala seorang lagi cedera parah akibat dipijak gajah di kawasan hutan kecil berhampiran SK Tenggaroh 5.

Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing DSP Sharif Shai Sharif Mondoi dipetik berkata hanya seekor anak gajah dipercayai terlibat dalam serangan itu dan haiwan tersebut disyaki terpisah daripada kumpulannya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan