APMM KELANTAN TAHAN 19 NELAYAN WARGA ASING

27/09/2024 05:50 PM

KOTA BHARU, 27 Sept (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan 19 nelayan warga asing dalam dua kapal nelayan tempatan di Pulau Perhentian Besar, Terengganu dan muara Tok Bali pada 19 dan 25 Sept lepas.

Pengarah APMM Kelantan Kpt Maritim Erwan Shah Soahdi berkata tangkapan oleh bot peronda agensi itu melibatkan kru berusia 24 hingga 55 tahun yang didapati memiliki permit kerja meragukan, selain melanggar syarat sah lesen dengan melakukan aktiviti menangkap ikan pada jarak kurang dari yang dibenarkan.

"Tekong kapal juga gagal ujian saringan air kencing apabila disahkan positif dadah jenis amphetamina dan akan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/1963.

"Kedua-dua kapal itu dibawa ke jeti APMM Kelantan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Erwan Shah menasihati komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di laut.

"Sebarang maklumat berkenaan aktiviti jenayah atau insiden di laut boleh terus disalurkan secara rasmi melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09-7780070," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan