SPRM BERTINDAK TANPA RASA TAKUT, PILIH KASIH

27/09/2024 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan laporan sebuah portal berita tempatan dan antarabangsa yang mendakwa pihaknya menerima arahan daripada pihak tertentu untuk tidak melakukan siasatan terhadap individu membabitkan pembelian saham sebuah syarikat.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan setiap tindakan penguatkuasaan yang dijalankan adalah tanpa rasa takut atau pilih kasih, tanpa campur tangan mana-mana pihak, adil tanpa prasangka dalam semua keadaan berteraskan prinsip kedaulatan serta keluhuran undang-undang.

“SPRM yakin perkara tersebut merupakan tohmahan liar serta tidak bertanggungjawab yang sengaja dilemparkan bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap Suruhanjaya ini.

“Ditegaskan bahawa SPRM tidak membuka kertas siasatan sewenang-wenangnya tanpa bukti dan fakta. Setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas,” menurut kenyataan itu.

SPRM juga memaklumkan pihaknya tidak tunduk kepada tekanan oleh mana-mana pihak untuk mengalihkan perhatian daripada kes rasuah dan penyelewengan sedang giat disiasat ketika ini dengan pelbagai tohmahan sengaja direka-reka.

“SPRM berharap orang ramai tidak terperdaya dengan tohmahan mana-mana pihak yang cuba dikaitkan dengan suruhanjaya ini bagi menyerang kepentingan pihak-pihak tertentu,” katanya. 

Semalam, sebuah portal berita perniagaan yang memetik sumber melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki supaya tidak menyiasat bekas setiausaha politiknya berhubung pembelian saham dalam sebuah syarikat yang terlibat dalam pembangunan sistem imigresen baharu.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan