NAJIB: TUGAS LEMBAGA PENGARAH URUS DANA SRC

27/09/2024 10:02 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Najib Razak hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak bertanggungjawab melakukan pengurusan secara mikro ke atas dana SRC International Sdn Bhd kerana ia adalah tugas Lembaga Pengarah (BOD) dan pengurusan syarikat itu.

Najib, 71, berkata semasa menyandang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat SRC beliau mempercayai BOD untuk mengendalikan hal ehwal syarikat itu kerana ia terdiri daripada individu yang berkelayakan tinggi.

"BOD dan pihak pengurusan adalah organ utama syarikat jadi apabila saya memutuskan untuk menguruskan SRC dari sudut makro, saya mahu SRC berjaya dalam matlamatnya untuk mencari tenaga alternatif untuk negara," katanya ketika disoal balas oleh peguam Datuk Lim Chee Wee yang mewakili SRC.

Bekas Perdana Menteri itu memberi keterangan sebagai saksi defendan dalam saman US$1.18 bilion yang difailkan oleh SRC International terhadap beliau dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil yang masih bebas.

Ditanya sama ada beliau boleh mengesahkan secara bebas penggunaan serta pengeluaran dana SRC, Najib berkata beliau tidak boleh menguruskan secara mikro cara dana itu digunakan dan BOD perlu membuat keputusan mengenai daya maju sesuatu pelaburan.

Sementara itu, kepada soalan Lim sama ada beliau mempunyai bukti bahawa wang sebanyak US$120 juta dalam akaun beliau bukan datangnya daripada SRC atau Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan, Najib meminta agar perkara itu dijawab kemudian.

Ini adalah kali kedua beliau tidak menjawab soalan mengenai isu itu.

Semalam, Lim menyoal beliau soalan sama mengenai US$70 juta yang dideposit ke dalam akaun banknya dan Najib berkata: "Boleh saya jawab kemudian?"

Pada Mei 2021, di bawah pengurusan baharu, SRC memfailkan saman itu yang mendakwa Najib telah melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa serta memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana terbabit.

SRC International sebelum ini menggugurkan lima pengarahnya daripada saman itu dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.

Syarikat itu memohon deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian yang dialami SRC akibat pelanggaran tugas dan amanah beliau serta menuntut beliau membayar pampasan sebanyak RM42 juta bagi kerugian tersebut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung pada 9 Okt ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan