WANITA MAUT NAHAS ENAM KENDERAAN

27/09/2024 11:50 PM

SEREMBAN, 27 Sept (Bernama) -- Seorang wanita maut manakala empat lagi cedera selepas terbabit dalam nahas melibatkan sebuah lori jenis tipper dan lima kereta di Jalan Persiaran Negeri dekat Persimpangan Lampu Isyarat Persiaran Golf, Nilai di sini, petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai DSP Mat Ghani Lateh berkata dalam kejadian pada 3.45 petang itu, mangsa yang berusia 31 tahun mengalami cedera parah di bahagian badan dan kepala akibat tersepit, dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkara siasatan awal mendapati lori tipper jenis Nissan yang membawa muatan pasir dipandu seorang lelaki berumur 30 tahun dalam perjalanan dari arah Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang menghala ke Pusat Bandar Nilai. 

"Apabila sampai di tempat kejadian, lori berkenaan telah hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar lima kereta yang sedang berhenti di lampu isyarat merah. 

"Akibat kemalangan, pemandu kereta jenis Perodua Ativa tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Alza mengalami kecederaan ringan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemandu lori dan empat mangsa lain masing-masing menaiki kereta jenis Honda Civic, Nissan Serena dan Suzuki Swift pula tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata mangsa yang maut dan cedera dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban oleh orang awam dan ambulans untuk rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan