OP GLOBAL: KRONOLOGI KES GISBH SETAKAT 27 SEPT

28/09/2024 01:52 AM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Op Global yang dilaksanakan bagi membanteras kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban agama yang dikaitkan dengan GlSB Holdings Sdn Bhd (GISBH) kini memasuki fasa empat.

Sejak Op Global fasa pertama bermula pada awal September, lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan, 572 mangsa diselamatkan serta lapan suspek berjaya dituduh di mahkamah dengan 33 pertuduhan.

Berikut adalah kronologi kes yang dikemas kini dari 26-27 Sept 2024: 

 

26 Sept

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata polis mencadangkan tindakan geledah dan sita terhadap premis berkaitan GISBH di Sabah dan Sarawak selepas mendapati premis berkenaan tidak lagi beroperasi selain sedia bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi tujuan itu.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengenakan kompaun berjumlah RM4.4 juta terhadap 12 syarikat yang berkaitan dengan GISBH baru-baru ini.

Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata kompaun itu dikeluarkan setelah siasatan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati kesemua syarikat terbabit tidak mematuhi tanggungjawab menyerahkan penyata tahunan dan penyata kewangan masing-masing.

 Di Selangor, seorang guru agama dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menganiaya tiga kanak-kanak lelaki dengan merotan dan menekan dada mangsa menggunakan lututnya di dua sekolah yang dikaitkan dengan GISBH.

Di Kelantan, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata pihaknya tidak mahu terburu-buru mengeluarkan fatwa berhubung GISBH dan masih mengumpul bukti sebelum memutuskan sebarang fatwa mengenai kepercayaan dan ajaran organisasi itu.

Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) pula mengesahkan bahawa 19 premis yang dioperasikan oleh GISBH untuk pelbagai jenis perniagaan di sekitar Kota Bharu telah berhenti beroperasi.

Dalam pada itu seorang mudir sebuah sekolah integrasi di Pasir Puteh direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes GISBH. 

Di Negeri Sembilan, Mahkamah Rendah Syariah Seremban membenarkan permohonan bon jaminan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) terhadap pengetua dan timbalan pengetua sebuah madrasah di Kampung Senama Hilir, Rembau bagi membantu siasatan kerana disyaki cuba menghidupkan semula ajaran Aurad Muhammadiah.

 

27 Sept

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya sedang menjejaki transaksi aliran wang GISBH dan aset milik syarikat itu di dalam negara.

Razarudin turut memaklumkan seorang individu penting yang berperanan mengendalikan akaun wang GISBH ditahan di Butterworth, Pulau Pinang, Sabtu lepas.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan memaklumkan kerajaan akan terus memastikan siasatan terkait kegiatan GISBH oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaksanakan dengan telus manakala 542 kanak-kanak yang diselamatkan melalui Op Global akan diberikan akses kebajikan, kaunseling, kerohanian dan pendidikan. 

Di Kelantan, Mahkamah Majistret Kota Bharu membenarkan permohonan sambung reman terhadap empat individu selama tiga hari bagi membantu siasatan berkaitan kes GISBH selepas reman mereka berakhir hari ini.

Di Perak, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan akan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi membentangkan laporan penuh berhubung kegiatan GISBH di negeri itu dalam masa terdekat.

Di Pahang, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung tindakan penguatkuasaan dan siasatan terhadap individu serta premis yang dikaitkan dengan GISBH di negeri itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan