GISBH: TEMPOH REMAN BEBERAPA INDIVIDU DILANJUT

29/09/2024 10:20 PM

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Tempoh reman terhadap beberapa individu berkaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dilanjutkan hari ini, bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan untuk merungkai kes melibatkan syarikat terbabit.

Di SELANGOR, Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini membenarkan tempoh reman dua individu termasuk seorang dipercayai berperanan sebagai pengendali aliran tunai yang tamat hari ini, dilanjutkan.

Perintah lanjutan reman selama lima hari bermula hari ini terhadap kedua-duanya yang berusia lingkungan 50-an dikeluarkan Timbalan Pendaftar Nurshahira Abdul Salim, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-kanak 2001 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2022.

Di KELANTAN, Mahkamah Majistret Machang hari ini membenarkan permohonan polis untuk melanjutkan tempoh reman selama tiga hari terhadap seorang mudir sebuah sekolah rendah integrasi berusia 66 tahun yang dikaitkan dengan GISBH bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Sejak Op Global bermula pada awal September, lebih 300 orang termasuk pengurusan tertinggi GISBH  telah ditahan, 572 mangsa diselamatkan serta lapan individu telah dituduh di mahkamah atas 33 pertuduhan.

Dalam pada itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata tiada ahli PAS negeri itu terlibat dengan GISBH atau Al-Arqam dan menegaskan bahawa PAS dan Al-Arqam merupakan dua entiti berbeza.

Beliau berkata kerajaan menyerahkan semua perkara berkaitan GISBH kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan tindakan perlu diambil jika terbukti ia melanggar peraturan dari sudut agama.

Sementara itu, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata tiada keperluan untuk mewujudkan fatwa baharu berkaitan GISBH kecuali terdapat elemen lain yang dijumpai pihak berkuasa.

Beliau berkata fatwa mengenai ajaran sesat yang digunakan semasa mengisytiharkan Al-Arqam sebagai sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 5 Ogos 1994 masih relevan untuk diguna pakai jika terbukti perkara yang sama berlaku dalam GISBH.

Pada 11 Sept, polis menerusi Op Global telah melakukan serbuan terhadap 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Serbuan itu mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak yang membawa kepada penahanan beberapa individu dikaitkan dengan GISBH.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan