TULAR HINA ISLAM: POLIS KENAL PASTI IDENTITI SUSPEK

04/11/2024 10:39 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Polis telah mengenal pasti lelaki yang mengeluarkan kata-kata negatif dan penghinaan terhadap Islam sebagaimana tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya akan merakam keterangan suspek dalam masa terdekat memandangkan lelaki itu sedang mendapatkan rawatan kesihatan mental di sebuah hospital.

Beliau berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

"Pada hari ini polis mengesan satu rakaman video yang tular berdurasi 1 minit 4 saat dimuat naik melalui laman sosial Facebook. 

"Rakaman video tersebut memaparkan seorang lelaki yang berada di dalam sebuah kenderaan mengeluarkan kata-kata negatif dan penghinaan terhadap Islam," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Rusdi berkata polis memandang serius perkara itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bertindak menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan untuk tidak terus menularkan video berkenaan kerana bimbang akan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan