JIPS TELITI REKOD PERKHIDMATAN ANGGOTA DIPERCAYAI TERLIBAT CURI BARANG KEMAS

04/11/2024 11:51 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sedang meneliti rekod perkhidmatan empat anggota polis yang dipercayai terlibat dalam kes kehilangan barang kemas milik seorang wanita yang ditemukan meninggal dunia dalam kereta di Setapak di sini 1 Okt lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas tanpa amaran terhadap mereka mahupun mana-mana anggota dan pegawai polis jika didapati melakukan perbuatan melanggar undang-undang hingga menjejas nama pasukan.

“Tiada lagi amaran, tindakan lebih berkesan daripada kata-kata,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sementara itu Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kertas siasatan kes berkenaan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Empat anggota itu telah dibebaskan selepas tempoh reman mereka tamat Sabtu lepas,” katanya.

Jumaat lepas empat anggota berpangkat konstabel hingga koperal berusia lingkungan 28 hingga 35 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan barang kemas milik seorang wanita yang ditemukan mati akibat sakit jantung dalam kereta, di parkir kondominium di Setapak 1 Okt lepas.

Susulan penahanan itu polis merampas resit serta seketul logam berwarna kekuningan dengan berat anggaran 11.52 gram dan kes yang pada awalnya diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP) telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan