JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Semangat ASEAN Terserlah Di APEC, Xi Jinping Antara Pemimpin Dunia Zahir Tahniah Kepada PM Anwar

02/11/2025 01:39 AM

Daripada Nor Baizura Basri

GYEONGJU (Korea Selatan), 1 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semangat ASEAN terserlah pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) kali ini dengan pemimpin dunia seperti Presiden China Xi Jinping menzahirkan tahniah kepadanya susulan kejayaan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berakhir Selasa lepas.

Perdana Menteri berkata pemimpin-pemimpin APEC juga bertanyakan bagaimana Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada ketika itu, menggunakan diplomasi lembut (soft diplomacy) sekali gus mengimbangi perhubungan ASEAN dengan kekuatan Amerika Syarikat (AS) dan China.

Diplomasi lembut bermaksud keupayaan untuk mempengaruhi negara lain melalui pujukan dan tarikan, bukannya melalui kekerasan.

"Presiden Xi ucapkan setinggi-tingginya tahniah kepada kita atas kejayaan ASEAN, hampir kesemuanya (pemimpin APEC). Saya terharu dari AS, China, Mexico yang jauh tetapi bila jumpa saya, terus menyatakan kesempatan luar biasa atas kejayaan ASEAN termasuk perdamaian Kemboja dan Thailand.

"Dan juga (tanya) bagaimana kita (ASEAN) dapat imbangi kekuatan AS, China dengan negara berkembang dan membangun yang lain," katanya kepada pemberita pada sidang media mengakhiri lawatan kerja tiga hari sempena AELM di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata penghargaan para pemimpin APEC sekali gus mencerminkan kredibilti Malaysia di pentas antarabangsa.

Beliau berkata kehadiran Perdana Menteri di bilik menunggu pemimpin (leaders holding room), menarik perhatian ramai pemimpin dunia yang hadir, sekali gus memperlihatkan penghormatan tinggi terhadap kepimpinan Malaysia.

“Apabila Perdana Menteri masuk ke dalam bilik menunggu pemimpin, beliau menjadi pusat perhatian. Ramai pemimpin datang menghampiri dan berbual dengan beliau. Ini menunjukkan penghormatan dan pengiktirafan terhadap peranan Malaysia,” katanya.

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Antarabangsa Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

Pada Rabu, Presiden AS Donald Trump yang berucap pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC CEO Sumit Korea 2025) terus memuji kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan kejayaan Malaysia memainkan peranan penting dalam memeterai perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja, minggu lepas.

Perkara itu turut diulangi sekali lagi pada sesi pertemuan dua hala dengan Setiausaha Kewangan Perbendaharaan AS, Scott Bessent semalam.

Anwar juga berkata dengan kekuatan rantau ASEAN terutama dalam mengukuhkan ekonomi turut dibentangkan pada pertemuan bersama pemimpin-pemimpin APEC terutama yang melibatkan soal kemampanan dan inklusiviti.

"Ini akan digagaskan dengan apa yang mereka ungkapkan dalam visi Putrajaya 2040 yang diputuskan dulu dan kemudian dalam kerangka besar ekonomi badan ini.

"...saya juga tekankan bahawa kalau benar kita mahu mengukuhkan semangat kesatuan multilateral dan memperkukuh hubungan dagangan yang bebas, maka peranan kita adalah membuka jaringan yang lebih luas menjangkaui negara-negara APEC dengan melibatkan Afrika dan Amerika Latin," kata Perdana Menteri.

Malaysia telah menjadi anggota pengasas APEC sejak 1989, dengan ekonomi APEC menyumbang 78 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada 2023, berjumlah RM2.6 trilion.

APEC, forum perundingan informal dan fleksibel serta tidak terikat, mewakili 21 ekonomi anggota secara kolektifnya merangkumi hampir 60 peratus daripada keluaran dalam negara kasar global dan 47 peratus daripada perdagangan dunia.

Perhimpunan istimewa tahun ini menandakan 20 tahun sejak republik itu kali terakhir menganjurkan AELM pada 2005 di Busan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan