JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Malaysia Teroka Tenaga Nuklear Secara Berperingkat, Berasaskan Sains - Fadillah

11/11/2025 05:52 PM

PETALING JAYA, 11 Nov (Bernama) -- Malaysia akan meneroka penggunaan tenaga nuklear secara berperingkat dan berasaskan sains bagi mempelbagaikan campuran tenaga negara serta meningkatkan kebolehpercayaan serta kemampuan bekalannya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen jangka panjang Malaysia dalam memperkukuh keselamatan tenaga dan mencapai sasaran sifar bersih karbon menjelang 2050.

“Penerokaan ini bukan satu perubahan mendadak, sebaliknya dilaksanakan secara beperingkat dan berasaskan sains bagi mempelbagaikan sumber tenaga negara serta memperkukuh keselamatan dan keterjaminan bekalan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Tenaga Nuklear (ICNE) 2025 di sini hari ini.

Bertemakan Paving the Way for a Sustainable Energy Source in ASEAN, persidangan itu menghimpunkan pakar dari Jabatan Tenaga Atom Malaysia (Atom Malaysia), Pusat Tenaga ASEAN, China National Nuclear Corporation, AtkinsRéalis Canada dan Korea Nuclear Association for International Cooperation, bagi bertukar pandangan serta memperkukuh kerjasama serantau.

Fadillah berkata pendekatan Malaysia dalam penerokaan tenaga nuklear berpandukan tiga prinsip utama iaitu keselamatan, ketelusan dan kelestarian dengan setiap keputusan dibuat berasaskan data saintifik, libat urus awam serta amalan terbaik antarabangsa.

Beliau berkata kerajaan telah melantik MyPower Corporation sebagai Organisasi Pelaksana Program Tenaga Nuklear (NEPIO) untuk menerajui kesiapsiagaan negara ke arah pembangunan tenaga nuklear pada masa hadapan.

Pelantikan itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan nuklear negara, dengan MyPower berperanan menyelaras usaha melibatkan pelbagai kementerian, badan pengawal selia dan pemain industri.

Fadillah berkata tanggungjawab MyPower merangkumi memperkukuh rangka kerja institusi, perundangan dan kawal selia selaras dengan Milestone Approach Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), melaksanakan kajian kebolehlaksanaan serta menjalankan libat urus awam bagi membina kepercayaan masyarakat.

“MyPower mencerminkan komitmen seluruh kerajaan Malaysia untuk memastikan sebarang penerimaan tenaga nuklear dijalankan secara teratur, telus dan selaras dengan nilai-nilai MADANI,” katanya.

Beliau  berkata penerokaan tenaga nuklear turut terkandung dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan melengkapi Dasar Tenaga Negara (NEP) 2022-2040.

Inisiatif semasa termasuk memperkukuh kapasiti Atom Malaysia, membangunkan kepakaran teknikal melalui kerjasama antarabangsa, serta mempromosikan dialog awam yang telus mengenai penggunaan tenaga nuklear secara selamat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan