JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

UMS Perkukuh Peranan "The Brain Of Borneo"

12/11/2025 11:04 AM

KOTA KINABALU, 12 Nov (Bernama) -- Universiti Malaysia Sabah (UMS) beriltizam memperkukuh peranan sebagai The Brain of Borneo dengan memberi fokus kepada penyelidikan berimpak tinggi, pendidikan inklusif serta pembangunan modal insan berkualiti agar mampu memberi manfaat langsung kepada masyarakat, negeri dan negara.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata The Brain of Borneo bukan sekadar slogan, tetapi mencerminkan misi dan visi universiti yang ditubuhkan sejak tiga dekad itu sebagai pusat ilmu utama di rantau ini sekali gus menyumbang kepada kemajuan sosial serta ekonomi negeri.

Beliau berkata slogan itu menjadi panduan utama UMS bagi memastikan setiap usaha melahirkan graduan dan hasil penyelidikan berpaksikan prinsip memberi manfaat, berdaya tahan, tulen, inklusif, bertanggungjawab dan memupuk asas utuh dalam melahirkan masyarakat berilmu pengetahuan.

“Slogan ini dipilih Kementerian Pendidikan Tinggi. UMS konsisten untuk seiring dengan slogan ini. UMS mempunyai lebih 1,200 tenaga pengajar atau ahli akademik dengan lebih 80 peratus mempunyai doktor falsafah (PHD) dan kepakaran ini akan mengangkat martabat UMS sebagai menara gading di Sabah.

“Ini bukan slogan semata-mata tetapi sarat dengan maksud untuk memastikan UMS memberi sumbangan besar kepada masyarakat Sabah khususnya di kawasan luar bandar, selain memberi impak kepada pembangunan negeri,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.

Kasim berkata UMS juga bertekad memastikan semua penyelidikan universiti itu mampu dimanfaatkan bagi pembangunan industri yang hasilnya kelak berguna kepada masyarakat dan bukan untuk penerbitan dan diletakkan di rak buku.

Beliau berkata komitmen kepakaran UMS berkongsi pandangan melalui Majlis Penasihat Ekonomi negeri merangkumi pelbagai bidang seperti pelancongan, perlombongan dan mineral yang mampu membantu memastikan dasar dilaksanakan di Sabah memberi impak besar kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat.

Langkah itu juga dapat merungkai potensi dimilik Sabah ke arah melonjakkan pendapatan negeri dan Malaysia, katanya.

“Sabah kaya dengan sumber asli tetapi dari segi pembangunan masih ketinggalan jauh. Justeru, saya rasa UMS harus ada tanggungjawab untuk melahirkan sumber manusia yang pakar dalam pelbagai bidang untuk meneroka potensi-potensi ini,” katanya.

Mengenai pencapaian terkini, Kasim berkata UMS berada di tangga ke-214 di Asia dan ke-58 di Asia Tenggara dalam penarafan QS World University Rangkings, sekali gus menjadi pemangkin memperkukuh reputasi akademik universiti berkenaan.

Sejak penubuhannya 30 tahun lepas, Kasim berkata UMS telah melahirkan lebih 95,000 graduan dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, pendidikan dan sains sosial.

Kasim berkata UMS akan mengadakan Majlis Konvokesyen ke-27 pada 28 dan 30 Nov serta 1 Dis ini dengan antara lain menyaksikan sebanyak 193 graduan PhD dalam pelbagai bidang, 295 graduan peringkat sarjana dan 125 graduan melibatkan pelajar antarabangsa.

Menurutnya, UMS juga mencatat jumlah graduan kelas pertama sebanyak 288 orang pada sesi konvokesyen tahun ini.

“Pelajar-pelajar B40 juga ramai yang akan bergraduasi selain terdapat 10 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) ,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan