JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Pelan Pembangunan Bank Data Kebangsaan Bermula Tahun Depan – Wilson

12/11/2025 12:25 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Kementerian Digital kini sedang merangka pelan pelaksanaan Bank Data Kebangsaan (NDR) yang dijangka bermula tahun depan, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh tadbir urus data negara.

Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata pelaksanaan inisiatif itu merupakan langkah strategik di bawah agenda Kerajaan MADANI untuk memacu Malaysia ke arah negara berasaskan kecerdasan buatan (AI Nation) menjelang 2030.

“Dengan adanya pusat data ini, kerajaan dapat menggunakan maklumat dengan lebih cekap bagi membuat keputusan, merancang dasar serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

“Antara perkara utama akan dilaksanakan termasuk kajian menyeluruh mengenai keadaan semasa dan keperluan ekosistem data negara, serta penetapan dasar dan garis panduan tadbir urus data di peringkat kebangsaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Ku Abd Rahman (PN-Kubang Pasu) yang mahukan penjelasan tentang tempoh masa diperlukan untuk membangunkan NDR dan jangkaan ia beroperasi sepenuhnya.

Beliau berkata pelan pelaksanaan NDR turut memberi tumpuan kepada pembangunan piawaian data bagi memastikan semua agensi kerajaan menggunakan format data yang seragam.

Selain itu, ia juga menilai keupayaan infrastruktur dan kemahiran tenaga kerja berkaitan pengurusan data serta pembangunan seni bina dan platform teknologi yang akan digunakan.

“Pendekatan ini akan membantu memastikan semua sistem kerajaan dapat berkongsi data dengan lebih selamat dan berkesan, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap cara maklumat kerajaan diuruskan,” katanya.

Wilson turut menjelaskan bahawa Aplikasi MyGOV Malaysia, inisiatif utama kerajaan bagi memodenkan perkhidmatan awam dan menyediakan akses digital yang lancar, memerlukan NDR sebagai repositori nasional data berkualiti tinggi daripada pelbagai sektor.

“Integrasi ini penting kerana ia membolehkan MyGOV memaparkan data dan maklumat daripada pelbagai agensi dalam satu platform, melakukan semakan kelayakan secara proaktif, serta mempermudah dan mempercepat proses permohonan bantuan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata bagi memastikan integrasi antara MyGOV dan NDR berjalan secara selamat dan berkesan, beberapa protokol utama akan dikuatkuasakan, termasuk penggunaan data yang disahkan daripada sumber dipercayai serta pelaksanaan persetujuan eksplisit pengguna.

Menurutnya, kerajaan juga akan memastikan kawalan keselamatan data dilaksanakan sejajar dengan Akta Perkongsian Data 2025 (Akta 864), termasuk kawalan capaian terhadap data dan pihak terlibat dalam perkhidmatan data.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan