KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) – Penjualan diesel bersubsidi mencatatkan penurunan ketara sejak pelaksanaan penyasaran semula subsidi bahan api pada Jun 2024, menunjukkan langkah kerajaan bagi mengurangkan ketirisan subsidi semakin berkesan.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying, berkata sebelum pelaksanaan penyasaran subsidi, purata jualan diesel bersubsidi bagi tempoh Januari hingga Mei 2024 ialah sekitar 770 juta liter sebulan. Selepas dasar itu dilaksanakan, purata jualan bagi tempoh Jun hingga Disember 2024 menurun kepada kira-kira 465 juta liter sebulan.
Dalam masa sama, beliau berkata jualan diesel secara komersial juga telah meningkat selepas penyasaran subsidi.
“Perbandingan antara kedua-dua tempoh ini menunjukkan pengurangan ketara dalam jualan diesel bersubsidi, sekali gus menandakan penurunan kadar ketirisan subsidi diesel.
“Ini bermakna sebelum ini terdapat kegiatan pembelian diesel bersubsidi daripada stesen minyak yang mungkin digunakan untuk kegunaan komersial tempatan, iaitu bagi kegunaan mesin dan generator elektrik di tapak pembinaan atau kilang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Lim menjawab soalan tambahan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai penurunan jualan diesel bersubsidi selepas pelaksanaan penyasaran semula subsidi bahan api.
Beliau berkata sejak pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel, kerajaan berjaya menjimatkan lebih RM400 juta sebulan, bersamaan sekitar RM5 bilion setahun.
“Hasil penjimatan ini membolehkan kerajaan menyalurkan semula peruntukan bagi membiayai projek pembangunan serta mengukur jaringan sosial rakyat melalui program bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA),” katanya.
Beliau berkata sehingga 31 Okt lepas, seramai 320,000 pemilik kenderaan persendirian diesel, petani, penternak dan pekebun kecil telah mendapat manfaat dengan jumlah bayaran sebanyak RM850 juta.
“Bagi segmen kenderaan pengangkutan darat barangan di bawah program Budi MADANI Diesel sehingga 30 Sept lepas, sebanyak 121,618 syarikat kenderaan barangan dengan 355,074 kenderaan telah diluluskan penggunaan fleetcard.
“Langkah ini dapat memastikan kos operasi sektor logistik tidak meningkat secara mendadak dan barangan keperluan kekal pada harga berpatutan, sekali gus menunjukkan keberkesanan dalam mengurangkan ketirisan, mengoptimumkan perbelanjaan fiskal dan memastikan golongan yang layak terus menerima manfaat,” katanya.
Berhubung subsidi diesel bagi kumpulan nelayan, Lim berkata kira-kira 18,000 nelayan yang berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), termasuk nelayan darat yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Malaysia layak menerima subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
“Ini juga melibatkan bot persendirian yang berdaftar dengan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Jabatan Pelabuhan, dan Dermaga Sabah. Semua mereka telah layak menerima BUDI95 yang dilancarkan pada Oktober baru-baru ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial