JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Igal Tonjol Keindahan Budaya Masyarakat Semporna

12/11/2025 06:02 PM

Oleh Noorazlina Jindeh

SEMPORNA, 12 Nov (Bernama) -- Tarian atau Igal yang dipersembahkan oleh masyarakat Bajau di pantai timur Sabah semasa majlis rasmi dan keraian termasuk acara tahunan Pesta Regatta Lepa di Semporna bukan sekadar tarian indah malah sarat dengan simbolik nilai, budaya serta maruah.

Justeru, tidak hairan apabila ia dikuasai oleh ramai masyarakat Bajau kerana ilmunya telah diterapkan sejak usia kanak-kanak antaranya Ratu Lepa 2012 Elina Jikanari, 42, yang mula mempelajari tarian itu ketika berumur tujuh tahun.

Ibu kepada dua anak itu berkata sejak dipilih sebagai Ratu Lepa pada Pesta Regatta Lepa 13 tahun lepas, beliau dapat melihat Igal di Semporna semakin dikenali oleh masyarakat luar khususnya apabila Regatta Lepa dijadikan acara tahunan dalam kalendar pelancongan Sabah.

"Minat terhadap igal memang terlalu kuat di Semporna, kanak-kanak yang berumur tujuh tahun biasanya sudah menunjukkan minat terhadap Igal.

"Setiap tahun, daerah Semporna mengadakan acara tahunan (Regatta Lepa), yang kita tahu sekarang pelancong semakin ramai dan mereka sangat tertarik dengan keunikan gerak tari ini," katanya kepada Bernama.

Elina, antara 23 Ratu Igal yang dilahirkan melalui Pesta Regatta Lepa, berkata biasanya sebagai Ratu Lepa, pakaian tradisi ketika membuat persembahan adalah baju kebaya hitam, kuning dan hijau serta tidak mempunyai manik mahupun labuci.

Beliau berkata Ratu Lepa juga akan memakai hiasan di kepala yang dalam Bahasa Bajau dikenali sebagai mahakuttak, ladjuk dan jabang manakala perhiasan di kuku pula dipanggil salung kuku, janggai serta solengkengkeng.

"Dalam persembahan Igal, Ratu Lepa memegang kepingan kayu keras dipanggil 'bolak-bolak' yang akan menghasilkan bunyi," katanya yang pernah membuat persembahan di Yogyakarta, Indonesia pada 2019.

Bagi Nur Aina Naziha Abdul Ghafor, 32, yang dinobat sebagai Ratu Lepa pada 2018, gelaran itu membawa bersamanya tanggungjawab memperkenalkan Igal selain telah memberi peluang untuk beliau lebih memahami keaslian budaya masyarakatnya sebagai generasi muda.

Nur Aina Naziha berkata dalam usaha mendekati generasi muda supaya lebih memahami adat dan budaya Bajau di daerah itu, beliau menggunakan media sosial sebagai platform untuk berkongsi pengetahuan mengenai Igal di Semporna.

"Saya berharap generasi muda lebih memahami tradisi dan turut memperkenalkan budaya Bajau ini bukan hanya di Semporna tetapi juga di seluruh negara," katanya yang pernah membuat persembahan pada Festival Bajau Kalimantan Berau, Indonesia pada 2019.

Datu Sabri Datu Alawiddin, 33, pemenang penari Igal Lallah Dorongan 2024 atau Lelaki Gagah pula berkata untuk meraih gelaran itu, seseorang perlu menguasai empat rentak atau titik iaitu titik kuntau, titik tabawan, titik tarirai dan titik lellang.

Beliau berkata minatnya terhadap Igal bermula sejak di bangku sekolah rendah hinggalah ke peringkat universiti sebelum melanjutkan pengajian di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (Tari) di Universiti Perguruan Sultan Idris.

"Untuk perancangan masa depan, saya bercadang mengadakan bengkel Igal supaya tarian itu lebih dikenali oleh masyarakat luar kerana jika bukan kita, siapa lagi yang akan mencintai tarian tradisional ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kesenian, Kebajikan dan Warisan Bangsa Bajau Semporna Khalid M.Taib berharap daerah Semporna akan mempunyai dewan kesenian sendiri yang dapat menggalakkan perkembangan seni di kawasan tersebut selain menarik penglibatan lebih ramai golongan belia dalam budaya serta adat Bajau.

"Di Kota Kinabalu, ada Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) manakala di Tuaran, ada Dewan Bajau.

"Jadi, kita pun rasanya perlu ada satu dewan di sini untuk menyimpan maklumat tentang kesenian, kebudayaan dan warisan bangsa Bajau ini," katanya.

Beliau juga berkata Semporna telah menganjurkan Festival Regatta Lepa yang kini telah disambut selama lebih 30 tahun.

Ratu Lepa ialah gelaran yang diberikan kepada pemenang pertandingan Regatta Lepa iaitu pesta sukan air tradisional yang disambut oleh masyarakat Bajau di Semporna.

Edisi pertama Regatta Lepa dianjurkan pada 1962, yang dikenali sebagai Tamu Besar Semporna, dan diadakan setiap tahun hingga 1965 sebelum dihentikan.

Ia diperkenalkan semula sebagai Regatta Lepa pada 1995 hasil idea Yang Dipertua Negeri Sabah ketika itu, Tun Sakaran Dandai, yang merupakan anak jati Semporna.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan