JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

RON97 Ditetapkan RM3.25 Seliter, RON95 Tanpa Subsidi RM2.65 Seliter Hingga 19 Nov

12/11/2025 06:59 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi di seluruh negara masing-masing ditetapkan pada paras RM3.25 seliter dan RM2.65 seliter bagi tempoh 13 hingga 19 Nov ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan harga runcit bahan api itu ditetapkan seiring dengan peningkatan harga minyak dunia.

Menurut kenyataan itu harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pula kekal pada paras RM1.99 seliter.

Selain itu, harga runcit diesel di Semenanjung ditetapkan pada RM3.07 seliter manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter dalam tempoh sama.

“Penetapan harga berkenaan dibuat berdasarkan harga mingguan produk petroleum mengikut Mekanisme Harga Automatik (APM),” menurut kenyataan itu. 

MOF memaklumkan kerajaan akan terus meneliti dan menyelaras harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel berdasarkan perkembangan pasaran minyak dunia semasa, namun keutamaan tetap diberikan kepada kestabilan harga.

Selain itu, kerajaan akan terus memantau trend harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan