JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Malaysia Perlu Pertimbang Secara Serius Jadi Negara Pemerhati Kepada Jawatankuasa AI CoE

12/11/2025 07:40 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Malaysia perlu menimbang secara serius untuk memohon status sebagai Negara Pemerhati kepada Jawatankuasa Kecerdasan Buatan (AI) Majlis Eropah (CoE) susulan penerimaan Konvensyen Rangka Kerja CoE mengenai AI dan Hak Asasi Manusia, Demokrasi dan Kedaulatan Undang-Undang.

Pengerusi Ahli Parlimen bagi Tindakan Global (PGA) Kumpulan Negara Malaysia M. Kula Segaran berkata langkah itu akan membolehkan Malaysia mempunyai suara pada peringkat awal dan penting dalam pembentukan Konvensyen Rangka Kerja tersebut sebelum ia berkuat kuasa secara rasmi.

Beliau berkata Kesatuan Eropah dan 16 negara lain kini terlibat dalam rundingan mengenai butiran terperinci konvensyen itu, yang perlu diratifikasi terlebih dahulu sebelum Malaysia boleh mempertimbang untuk menandatangani dan mengesahkannya.

“Bagaimanapun, Malaysia perlu memperoleh status sebagai Negara Pemerhati terlebih dahulu kerana ia membolehkan kita menikmati keutamaan akses kepada maklumat, pemikiran dan perbincangan penting,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Kula Segaran yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), mempengerusikan Webinar Serantau Asia Pasifik mengenai AI Bertanggungjawab yang turut dihadiri oleh para pegawai undang-undang daripada Jawatankuasa AI CoE iaitu Vadim Pak.

Kula Segaran berkata Konvensyen Rangka Kerja itu, perjanjian antarabangsa pertama yang mengikat secara sah dalam bidang tersebut, bertujuan memastikan setiap aktiviti sepanjang kitaran hayat sistem AI selaras sepenuhnya dengan hak asasi manusia, demokrasi serta kedaulatan undang-undang, dan pada masa sama, tetap menyokong kemajuan teknologi dan inovasi.

Beliau berkata setakat ini, tiada negara ASEAN yang menjadi Negara Pemerhati kepada Jawatankuasa AI CoE mengenai Konvensyen Rangka Kerja itu, dan Malaysia akan menjadi yang pertama di rantau ini sekiranya memilih untuk berbuat demikian.

“Minggu lepas, Korea Selatan sebagai nama besar dalam dunia Kecerdasan Buatan, telah memulakan proses untuk menjadi sebuah Negara Pemerhati kepada Jawatankuasa AI CoE,” katanya.

Kula Segaran berkata baru-baru ini, Malaysia telah dijemput menyertai Konvensyen Budapest mengenai Jenayah Siber, yang turut disediakan di bawah CoE, dan tindakan memohon status sebagai Negara Pemerhati adalah langkah yang logik serta menjadi pelengkap selaras dengan keutamaan kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus AI secara mesra inovasi.

Beliau berkata Kerajaan MADANI telah mengambil langkah proaktif dalam hal ini termasuk pengenalan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri bagi mempromosikan penggunaan Internet yang selamat dan dalam keadaan tertentu, melindungi masyarakat daripada penggunaan AI yang berbahaya.

Kula Segaran juga berkata Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) yang ditubuhkan oleh Kementerian Digital turut memainkan peranan penting dalam menyelia pelaksanaan Pelan Tindakan Teknologi AI 2026-2030 yang memfokus kepada empat aspek utama iaitu teknologi, bakat, tadbir urus dan infrastruktur.

“Dengan segala usaha yang dilakukan oleh pelbagai kementerian dalam memastikan keselamatan, pengawalan dan tadbir urus AI, ini adalah masa yang tepat bagi Malaysia mempertimbang secara serius status sebagai Negara Pemerhati kepada Jawatankuasa AI CoE berhubung Konvensyen Rangka Kerja mengenai Kecerdasan Buatan dan Hak Asasi Manusia, Demokrasi dan Kedaulatan Undang-Undang,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan