JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Aerotrain KLIA: MAHB Sedia Kerjasama Dengan SPRM

14/11/2025 03:11 PM

SEPANG, 14 Nov (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) belum menerima sebarang permintaan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat projek Aerotrain bernilai RM456 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata pihaknya sentiasa bersedia untuk memberikan kerjasama sekiranya diperlukan.

“Saya belum menerima sebarang permintaan daripada SPRM, tetapi sebagai sebuah agensi berkaitan dengan kerajaan, kami bersedia untuk bekerjasama dengan SPRM,” katanya pada sesi taklimat media di sini hari ini.

Ia susulan kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang sebelum ini menyatakan bahawa SPRM bebas menyiasat perkara berkenaan berikutan rungutan berterusan terhadap masalah kebolehpercayaannya.

Awal minggu ini, Loke berkata SPRM bebas menyiasat projek Aerotrain di Terminal 1 KLIA yang dibiayai sepenuhnya oleh MAHB dan tidak melibatkan dana kerajaan, berdasarkan bukti dan peruntukan undang-undang sedia ada.

Ditanya sama ada MAHB dipaksa mempercepatkan tarikh operasi Aerotrain daripada Disember kepada Julai, Mohd Izani berkata pihak pengendali projek berjaya menyiapkannya mengikut jadual ditetapkan.

Beliau turut menafikan dakwaan perkhidmatan Aerotrain dipaksa beroperasi lebih awal kerana Sidang Kemuncak ASEAN.

“Kita berjaya menyiapkannya dan hari ini, kita mengadakan taklimat Pelan Tindakan Komprehensif (CAP) bagi memastikan semua isu ditangani, supaya memasuki tahun baharu dengan tahap kebolehpercayaan penuh terhadap tren ini, “katanya.

Terdahulu, Mohd Izani berkata MAHB telah memulakan CAP dalam tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP) bagi meningkatkan kebolehpercayaan sistem Aerotrain di KLIA.

CAP akan dilaksanakan bermula esok, di bawah proses tahap satu melibatkan pemeriksaan menyeluruh, ujian dan jika perlu pembetulan terhadap keseluruhan sistem serta subsistem kritikalnya.

Pemeriksaan menyeluruh akan dilaksanakan pada 9 malam hingga 7 pagi setiap hari, dan perkhidmatan bas akan disediakan sepanjang tempoh itu bagi memastikan pemindahan penumpang berjalan lancar.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan