JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

MAHB Laksana Pelan Tindakan Komprehensif Perkukuh Aerotrain Sebelum TMM2026

14/11/2025 03:15 PM

SEPANG, 14 Nov (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengulangi komitmen untuk memperkukuh kebolehpercayaan sistem Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Komprehensif (CAP) yang digerakkan untuk menangani sepenuhnya semua isu sebelum Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata CAP bertujuan menangani sepenuhnya isu-isu teknikal yang timbul sejak perkhidmatan Aerotrain disambung semula pada Julai tahun ini.

“CAP akan menangani secara menyeluruh semua isu yang dihadapi sebelum ini bagi memastikan aspek keselamatan dan kebolehpercayaan terjamin.

“Kami amat mengambil kira persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia. Walaupun  berlaku beberapa insiden, aliran penumpang tetap lancar dan berdasarkan rekod kami, tiada penumpang yang terlepas penerbangan,” katanya pada taklimat media di sini hari ini.

Mohd Izani berkata walaupun 19 insiden telah dilaporkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), hanya empat daripadanya menyebabkan gangguan perkhidmatan manakala baki kes adalah masalah teknikal kecil yang tidak menjejaskan aliran penumpang.

"Biar saya jelaskan di sini. Kes 19 (gangguan), sama ada kecil atau besar, yang kami wajib laporkan kepada APAD...empat insiden yang saya sebut tadi ialah yang menyebabkan operasi tren terhenti. Baki kes adalah isu kecil seperti ralat sistem yang memerlukan penyelarasan semula,” katanya.

Mohd Izani berkata empat insiden yang menyebabkan operasi tren terhenti membabitkan masing-masing satu kes pada Julai dan September, manakala dua lagi dilaporkan pada Oktober.

“Justeru, kita melaksanakan CAP bagi memastikan perkara ini tidak berulang. Kami telah mengenal pasti punca dan sedang menanganinya mengikut tempoh ditetapkan,” katanya.

Pada 13 Okt, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dilaporkan berkata Aerotrain di Terminal 1 KLIA mengalami 19 insiden antara 2 Julai hingga 30 Sept, disebabkan pelbagai isu termasuk masalah isyarat serta insiden berkaitan manusia, seperti penumpang memaksa membuka pintu tren.

Sejak kembali beroperasi pada 1 Julai, sistem Aerotrain di KLIA telah memberikan perkhidmatan kepada kira-kira tujuh juta penumpang dan melengkapkan lebih 53,000 perjalanan pergi balik dengan merekodkan Operational Service Availability (OSA) sebanyak 98.41 peratus.

Semasa CAP dilaksanakan, perkhidmatan Aerotrain akan menjalani pemeriksaan penuh pada 9 malam hingga 7 pagi setiap hari bermula esok, termasuk ujian sistem dan operasi percubaan.

Sepanjang tempoh berkenaan, perkhidmatan bas akan beroperasi sepenuhnya bagi memastikan pergerakan penumpang antara terminal tidak terjejas, manakala lebih banyak penerbangan berlepas dan tiba  dijalankan di bangunan terminal utama bagi mengurangkan keperluan pemindahan penumpang.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan