JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Jabatan Audit Negara Kekal Terajui KSC ASEANSAI Hingga 2027

14/11/2025 04:38 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Jabatan Audit Negara (JAN) kekal menerajui Jawatankuasa Perkongsian Pengetahuan (KSC) Pertubuhan Institusi Audit Tertinggi ASEAN (ASEANSAI)  bagi tempoh dua tahun akan datang. 

JAN menerusi kenyataan memaklumkan jabatan itu menerima sokongan sebulat suara untuk dilantik semula bagi tempoh 2026-2027 pada Sidang Kemuncak ASEANSAI ke-8 yang berlangsung di Singapura dari Rabu hingga Khamis (12-13 Nov) lepas.

Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi telah mewakili Malaysia pada sidang itu yang menghimpunkan Ketua Audit Negara dari negara anggota ASEAN, termasuk Timor-Leste buat julung kalinya, bagi membincangkan hala tuju dan kerjasama strategik serantau dalam bidang pengauditan sektor awam.

“Pencapaian ini mencerminkan pengiktirafan terhadap kepimpinan JAN dalam memperkukuh budaya perkongsian ilmu, memperluas inovasi serta mempertingkat pembangunan kapasiti profesionalisme dalam kalangan Institusi Audit Tertinggi rantau ini,” menurut kenyataan itu. 

Menurut JAN sepanjang tempoh 2023-2025, Malaysia berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif dan aktiviti ASEANSAI KSC, termasuk Pembangunan Garis Panduan Asas ASEANSAI bagi Audit Projek Pembinaan, Mesyuarat Dwitahunan KSC ASEANSAI ke-4 pada pada 24-26 Julai 2024 di Kuala Lumpur dan Bengkel Perkongsian Pengetahuan mengenai Audit Hutang pada 26-28 Ogos 2025 di Manila, Filipina. 

Menurut kenyataan itu, Persidangan Juruaudit ASEAN 2025 yang diadakan buat julung kalinya di Putrajaya pada 27 dan 28 Mei, juga menjadi antara pencapaian penting ASEANSAI KSC pada tahun ini apabila berjaya menghimpunkan 2,629 juruaudit awam dan swasta dari peringkat serantau dan antarabangsa.

Sementara itu, sidang kemuncak di Singapura tersebut turut memperakukan Rancangan Kerja KSC 2026–2027 dibentangkan oleh Wan Suraya, yang memberi tumpuan kepada empat bidang utama iaitu pengauditan pengurusan kewangan awam, pendigitalan audit, pengurusan hutang awam dan pengauditan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Pelan Strategik ASEANSAI 2026–2029 turut diluluskan dengan penekanan terhadap inovasi, perkongsian maklumat dan pembangunan kapasiti bagi menyokong tadbir urus awam yang lebih mantap.

“Mulai 2025, kerjasama diperluaskan kepada Kumpulan Kerja Audit Syarikat Kerajaan di bawah ASOSAI (Pertubuhan Institusi Audit Tertinggi Asia) dan Kumpulan Kerja Susulan Audit di bawah INTOSAI ( Pertubuhan Institusi Audit Tertinggi Antarabangsa)

“Ia turut dipengerusikan oleh SAI Malaysia dan menjadi satu daripada agenda JAN dalam meningkatkan perkongsian pengetahuan,” menurut kenyataan itu. 

JAN memaklumkan Wan Suraya juga telah mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari ASEANSAI serta China, Sweden dan Sekretariat ASEAN sepanjang sidang kemuncak itu, yang membuka ruang untuk memperkukuh hubungan profesional, meneroka peluang kerjasama strategik, serta berkongsi pandangan amalan terbaik dalam mempertingkat kecekapan dan keberkesanan pengauditan sektor awam di rantau ini.

Secara keseluruhan, penyertaan Malaysia kali ini mengukuhkan peranan JAN sebagai peneraju pengauditan serantau, selari dengan komitmen negara terhadap tadbir urus baik dan pembangunan mampan di bawah semangat ASEAN: Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti.

Sidang Kemuncak ASEANSAI seterusnya dijadualkan berlangsung di Thailand pada 2027.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan