JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

UPTM Cipta Rekod MBOR, 500 Belia Bentang Penyelidikan SDG Serentak

14/11/2025 04:47 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi program First Youth Research Presentation on SDG yang menghimpunkan 500 pelajar bagi membentangkan penyelidikan secara serentak di kampus universiti itu, hari ini.

Program anjuran Fakulti Perniagaan dan Perakaunan (FABA) itu menjadi acara terbesar seumpamanya, memaparkan idea penyelidikan berasaskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta menggalakkan kemahiran komunikasi, kreativiti dan melahirkan belia yang beretika serta bertanggungjawab.

Naib Canselor UPTM Prof Madya Dr Sharifah Syahirah Sy Sheikh berkata kejayaan itu memacu penyelidikan dan inovasi sambil pendekatan berfokuskan SDG membuka ruang kepada kajian yang luas dan relevan.

“Kami menumpukan kepada SDG kerana ia adalah matlamat global dan kita ingin memastikan UPTM menyumbang kepakaran dan juga tenaga dalam menambah baik kesemua 17 matlamat SDG ini.

“Hari ini kita telah menarik perhatian para pelajar, belia bahawa ini adalah tanggungjawab mereka untuk melakar satu masa depan yang lebih baik,” katanya pada program itu.

Pengiktirafan MBOR disampaikan Perunding Rekod Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah kepada Sharifah Syahirah dalam majlis penutup yang turut dihadiri 500 pelajar terlibat.

Program berkenaan dijalankan dalam 21 sesi selari di kampus UPTM, dengan setiap pelajar diberikan masa tiga minit untuk membentangkan idea penyelidikan menggunakan satu slaid.

Setiap sesi dikendalikan moderator, dirakam secara video dan dipadankan dengan sistem pendaftaran serta kehadiran digital melalui imbasan kod QR bagi memastikan ketelusan dan ketepatan rekod, selain menyaksikan penghasilan 500 e-poster penyelidikan sebagai dokumentasi rasmi.

Sementara itu, Sharifah Syahirah berkata UPTM bersedia meneroka lebih banyak bidang khusus bagi mencipta rekod MBOR termasuk merancang meluaskan kerjasama antarabangsa.

“Insya-Allah, tahun hadapan, kita akan cuba dapatkan lebih banyak pembentangan secara bersama dengan universiti-universiti lain sebab sekarang ini UPTM ada lebih daripada 30 rakan kongsi strategik dan yang terbaru adalah enam universiti daripada New Zealand begitu juga tiga di Mexico.”

Selaras dengan SDG 17 yang berkaitan dengan perkongsian matlamat global, beliau berkata kerjasama antarabangsa secara lebih meluas akan memastikan usaha UPTM mendapat impak maksimum.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan