JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Hasil Sabah: Perbincangan Pertama Antara Persekutuan-negeri Isnin Ini

14/11/2025 05:45 PM

PUTRAJAYA, 14 Nov (Bernama) -- Perbincangan pertama peringkat pegawai antara kerajaan Persekutuan dan negeri mengenai isu Pemberian Khas Sabah berdasarkan kadar 40 peratus hasil akan diadakan Isnin ini di Menara Kinabalu.

Wakil Menteri Kabinet Persekutuan dari Sabah bagi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPMA63) Datuk Armizan Mohd Ali berkata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican akan mengetuai pihak Persekutuan manakala kerajaan Sabah diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata perbincangan itu susulan keputusan Jemaah Menteri yang berpegang pada keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa kerajaan Persekutuan tidak akan merayu berhubung perkara berkenaan.

“Sebagaimana nasihat daripada AGC, kerajaan Persekutuan tidak akan merayu dalam konteks yang terkait dengan hak 40 peratus ini sebagai asas kepada penentuan amaun atau dasar Pemberian Khas Sabah di bawah Perkara 112C (1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Ini yang telah diputuskan yang mana tidak pernah dilaksanakan kerajaan sebelum ini. Ini perkara baharu. Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini turut memutuskan agar perbincangan perlu diadakan sesegera mungkin,” katanya dalam sidang media mingguan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di sini hari ini.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata perbincangan itu dilihat sebagai bukti komitmen kerajaan Pusat untuk melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan perkara itu.

“Ini menunjukkan keseriusan kerajaan Persekutuan untuk kita melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut yang terkait dan kita perlu menunaikan tanggungjawab Pemberian Khas Sabah,” katanya.

Armizan dilantik sebagai Wakil Sabah bagi menggantikan Datuk Ewon Benedick yang mengumumkan peletakan jawatannya sebagai anggota Kabinet Pusat baru-baru ini.

AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa kerajaan Persekutuan tidak merayu berhubung isu Pemberian Khas Sabah berdasarkan kadar 40 peratus hasil dan akan meneruskan rundingan dengan kerajaan negeri secepat mungkin.

AGC memaklumkan pihaknya telah memfailkan Notis Rayuan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu semalam terhadap sebahagian daripada keputusan mahkamah itu khususnya membabitkan beberapa kekhilafan dalam Alasan Penghakiman oleh hakim mahkamah berkenaan pada 17 Okt lepas.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan