JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

PRN Sabah: Beberapa Kawasan Diramal Hujan Pada Hari Penamaan Calon Esok

14/11/2025 05:27 PM

KOTA KINABALU, 14 Nov (Bernama) -- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca hujan di beberapa kawasan di negeri ini pada sebelah pagi hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 esok, dengan tiga kawasan dijangka mengalami ribut petir.

Daerah yang mengalami hujan ialah Paitan, Telupid, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Tawau dan Kalabakan manakala tiga daerah yang diramal mengalami ribut petir ialah Kudat, Pitas dan Beluran.

Beberapa kawasan lain pula diramal mengalami mendung iaitu Tuaran, Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Tambunan, Beaufort, Membakut dan Kuala Penyu.

Sementara cuaca di Kota Marudu, Kota Belud, Papar, Ranau, Tongod, Nabawan, Keningau, Sook, Sipitang dan Tenom diramal baik.

Calon bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Sabah akan diketahui esok dengan setiap daripada mereka diberikan masa satu jam dari 9 hingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan sebelum senarai rasmi yang layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya masing-masing.

Setelah pengesahan selesai, calon bertanding boleh memulakan kempen sepanjang tempoh 14 hari yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), iaitu hingga 11.59 malam 28 Nov. 

SPR menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 manakala 25 Nov bagi pengundian awal. 

Mengikut statistik SPR, sebanyak 1,784,843 pengundi yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan