JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Empat Filem Malaysia Tercalon Di AIFFA 2025

14/11/2025 11:56 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Empat filem Malaysia berjaya tersenarai dalam beberapa kategori di Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2025 yang berlangsung dari 12 hingga 15 Nov.

Pengarah AIFFA Livan Tajang  dalam kenyataan hari ini memaklumkan karya yang terpilih ialah filem Abang Adik; Babah; Reversi dan Simple Manusan itu, menunjukkan perkembangan positif bagi industri perfileman tempatan di pentas serantau.

“Tahun ini, kita membuka penyertaan kepada negara-negara ASEAN. Kita terima 200 penyertaan. Ini adalah rekod baharu sebab dulu tak pernah sampai sebanyak itu,” katanya.

Filem Abang Adik mencuri perhatian festival itu apabila menerima pencalonan dalam kategori Lakon Layar Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Wu Kang-Ren, Pengarah Terbaik (Jin Ong) dan Filem Terbaik.

Filem Babah pula tersenarai dalam kategori Suntingan Filem Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi Sweet Qismina dan Pelakon Lelaki Terbaik (Qi Razali).

Manakala filem Reversi mendapat pencalonan bagi kategori Suntingan Filem Terbaik, sementara filem Simple Manusan tercalon dalam Pembantu Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Mogan Chandra Dass.

Pencalonan itu meletakkan Malaysia sebagai antara pencabar utama dalam AIFFA 2025, sekali gus memperlihatkan kreativiti dan mutu pembikinan filem tempatan yang semakin diiktiraf di rantau ASEAN.

Sementara itu, Ketua Juri AIFFA 2025, U-Wei Saari menyifatkan penceritaan dan kualiti teknikal filem-filem ASEAN sebagai gabungan yang mengagumkan, mencerminkan kerencaman budaya, sejarah dan latar sosio-ekonomi rantau ini.

Keputusan rasmi dan pemenang akan diumumkan pada AIFFA Gala Night, esok (15 Nov) di Colosseum Ballroom, Pullman Hotel, Kuching.

Pencalonan melibatkan sembilan kategori itu turut menyenaraikan pencalonan filem dari negara seperti Filipina, Vietnam, Kemboja, Indonesia dan Brunei.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan